'Buat sehabis baik'

'Buat sehabis baik'

najiy.jefri@hmetro.com.my

MENGANGKAT kisah tokoh peneroka legenda, Louis James Fraser, Misteri Fraser 1910 bukan sekadar filem biopik sejarah, malah menjanjikan pengalaman sinematik yang menggabungkan fakta dan fiksyen, digarap penuh emosi dan kejutan.

Menurut penerbit yang juga pelakon Misteri Fraser 1910, Amai Kamarudin, cetusan idea asal filem ini bukanlah untuk menghasilkan naskhah berkisar sejarah. Sebaliknya, lokasi itu sendiri yang mengubah arah perjalanan kreatif mereka.

“Pada awal kita pergi ke Bukit Fraser, Raub, Pahang untuk mencari lokasi penggambaran filem seram lain. Tapi, bila sampai ke sana, kami dapat idea untuk filem ini.

“Seterusnya kami ambil keputusan untuk terus buat kajian mengenai sejarahnya.

“Saya fikir cerita sebegini masih belum ada yang buat dan mungkin ini pertama kali dalam Malaysia. Kami ambil keputusan beri tajuk Misteri Fraser 1910,” katanya.

Amai turut menjayakan watak Asan, iaitu orang kepercayaan Mr Fraser lakonan Josiah Hogan.

Menurutnya, keserasian di set penggambaran tidak menjadi isu kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini dalam beberapa projek filem dan drama.

“Sebelum ini kami pernah bekerja sekali dalam filem dan juga drama. Jadi keserasian itu sudah ada untuk memainkan watak bersama-sama. Maksudnya saling memahami.

“Disebabkan sudah biasa, maka untuk kami saling menyampaikan dialog itu tidak ada masalah. Jadi, untuk bina keserasian itu tidaklah terlalu sukar,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan filem ini mendapat kritikan kerana menyentuh aspek sejarah, Amai menjelaskan karya itu turut menyelitkan unsur fiksyen bagi mengukuhkan jalan ceritanya.

“Filem ini diinspirasikan daripada kisah sebenar. Tapi, kalau ada yang mahu beri kritikan itu perkara biasa sebab semua filem akan ada orang kritik.

“Kami sudah buat sehabis baik. Kita sudah tanya penduduk di situ dan orang berpengalaman termasuk mengkaji sendiri sejarahnya,” katanya.

Mr Fraser atau nama penuhnya Louis James Fraser adalah tokoh penting dalam pembangunan Bukit Fraser sekitar 1890-an.

Bermula sebagai kawasan perlombongan bijih timah, Fraser membangunkan kawasan itu menjadi pusat pertemuan golongan elit British. Namun pada tahun 1910, beliau dilapor hilang secara misteri, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi hingga ke hari ini.

Dalam filem ini, Mr Fraser digambarkan sebagai peneroka berjaya yang meletakkan kepercayaan kepada Asan untuk mengurus perniagaan dan kawasan kediamannya.

Namun kehilangan Mr Fraser meletakkan Asan dalam situasi yang rumit apabila kejadian aneh mula berlaku sebaik dia dan isterinya, Wati berpindah ke banglo milik majikannya itu.

Amai berkata, kajian terperinci dilakukan bagi memastikan watak dan latar dipaparkan kekal menghormati elemen sejarah sebenar.

“Untuk buat kajian karakter itu sangat-sangat susah. Jadi kita kita ambil inisiatif pergi sendiri ke Bukit Fraser dan bertanya kepada penduduk setempat mengenai sejarahnya.

“Selain itu, saya juga mengkaji sendiri watak. Macam saya dalam filem ini bawa watak Asan. Maksudnya saya pergi jumpa orang di sana untuk bertanya.

“Memang lama juga masa diambil untuk kita buat kajian. Walaupun cerita ini ada diselitkan elemen fiksyen, tapi tetap perlu berlandaskan sejarah juga,” katanya.

Filem Misteri Fraser 1910 bakal menemui penonton di pawagam bermula 26 Jun ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Josiah Hogan, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Datuk Rahim Razali dan A Galak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top