Penampilan pelakon remaja berbakat, Puteri Balqis kembali menjadi bualan netizen selepas satu komen di media sosial mendakwa gaya ditampilkan aktres itu kelihatan selekeh dan tidak sesuai dengan usianya.
Menerusi satu hantaran di platform X, seorang individu tampil memberi pandangan peribadi mengenai gaya Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish yang dikatakan terlalu berani dan ‘berat’ untuk imej seorang remaja.
“Puteri Balqis is a great actress. Tapi saya rasa dia selekeh. Just my two cents. Tenang sikit korang. Saya cakap Aqish (Puteri Balqis) selekeh bukan pasal baju dia tetapi lebih kepada contact lense, veneer, bold makeup yang tak sesuai dengan umur, rambut.. Saya tak cakap pun dia tak cantik,” tulis individu berkenaan.
Walaupun individu tersebut turut memuji bakat lakonan Aqish, kenyataan mengenai gaya penampilannya itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang bersetuju dengan pandangan itu, namun tidak kurang juga yang tampil mempertahankan aktres drama rantaian popular Keluarga Itu dengan mengatakan gaya tersebut cantik dan sesuai dengan selebriti itu.