Buat Yang Masih ‘Single’ Ini Pesanan Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah – Hijabista

Dalam hati setiap insan tipulah tidak ada rasa ingin disayangi, dicintai dan mahu memiliki keluarga bahagia.

Fitrahnya, manusia memerlukan pasangan dan hidup berkeluarga serta mempunyai anak-anak. Penyatuan dua insan yang bergelar suami isteri akan mengukuhkan ikatan perkahwinan dan kasih sayang yang menjadi matlamat hidup bersama.

Namun bukan semua orang mudah jodohnya. Janganlah kita memandang serong kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang masih belum bertemu jodoh. Kita tidak berada di tempat mereka.

Sebaliknya doakan semoga mereka cepat bertemu jodoh dengan insan yang baik yang pekerti dan bertanggungjawab.

Berikut ulasan Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah tentang perihal jodoh khusus buat mereka yang masih belum ketemu jodohnya.

SOALAN:

Tok Abah, saya sudah lama single. Umur pun dah lanjut juga ni. Tipulah kalau saya tak risau. Cuma itulah, jodoh tak sampai-sampailah Tok. Apa saya perlu buat?

JAWAPAN:

Semua orang ada jodoh ataupun pasangan yang menanti. Biasanya ia berada tidak jauh dari kamu. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

Kamu perlu ingat bahawa jodoh ini ketentuaan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh. Pastikan niat kamu betul.

Maksudnya berumah tangga bukan setakat memenuhi kesunyian kamu tetapi kamu mula melihat ia sebagai proses mendidik, menjaga dan memberi kehidupan pada pasangan kamu nanti.

Di situ baru kamu nampak besarnya tanggungjawab dan amanah yang kamu pikul itu akan jadikan kamu lebih ikhlas dan bersungguh nak memperoleh pasangan.

Ramai orang masih belum bertemu jodoh sebab mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga kamu bertemu jodoh.

Usaha bagaimana? Iaitu kamu perlu seimbangkan hidup kamu dengan sempurna. Jadi diri yang penuh dengan ilmu rumahtangga dan punya pegangan agama yang kukuh.

Kamu kelak akan menjadi magnet yang menarik orang yang sama ciri kebaikan yang kamu ada juga.

Lelaki baik untuk perempuan yang baik, bukan?

Mulai sekarang, kamu jangan terlalu risau. Fokuskan sahaja untuk mensucikan diri, buat kebaikan dan amal yang soleh. Hati kamu akan menjadi murni.

Dan disitulah ada daya tarikan yang sebenar. Kamu akan mula sedar, diri kamu jadi lebih baik. Dan orang di sekeliling juga nampak kebaikan yang kamu pamerkan.

Tahu-tahu jiran sebelah suka dengan kamu, terus dia telefonnya saudara mara dia ke untuk dijodohkan ke kamu. Siapa tahu, bukan?

Semoga jawapan Tok Abah ini memberi manfaat buat kamu ya. Jodoh dan ketentuan, semuanya dalam rahsia Allah SWT.

Sumber kredit: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah Sumber gambar: www.pexels.com

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.