Buaya jantan lima meter terperangkap dalam parit

Buaya jantan lima meter terperangkap dalam parit

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Hampir dua jam masa diambil sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk sebelum berjaya menangkap seekor buaya yang terperangkap dalam parit di Tongkang Pechah, di sini, petang semalam.

Buaya jantan hampir lima meter itu dipercayai tersesat sebelum ditemukan seorang pekerja kilang yang ketika itu sedang berehat berdekatan lokasi penemuan pada jam 6.50 petang.

Menurut Lans Koperal APM Batu Pahat, Mohd Norazzim Mohd Khalid, sebaik menerima panggilan pekerja kilang terbabit, enam anggota APM bergegas ke lokasi bagi membantu menangkap reptilia itu.

Beliau berkata, buaya terbabit didapati terperangkap dalam parit susulan air kering berikutan musim kemarau ketika ini.

“Kita dapati reptilia itu sudah tua berikutan tiada gigi namun masih agresif ketika kami dan penduduk mahu menangkapnya. Kami menggunakan tali untuk menjerut mulutnya serta menarik ke darat menggunakan pacuan empat roda.

“Sebaik tiba di darat, reptilia itu masih agresif dan beberapa kali berpusing. Namun dengan ketangkasan dan kecekapan serta bantuan penduduk sekitar, ia berjaya diikat.

“Reptilia itu walaupun sudah tua, namun masih agresif cuma tidak sekuat seperti buaya yang pernah ditangkap sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Kata Mohd Norazzim lagi, reptilia itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM Batu Pahat sebelum memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk, Kapten Wahyu Hidayat Hamdan, 45, berkata dia mendapat tahu penemuan buaya terbabit selepas dimaklumkan rakan sekampung.

Katanya, dia kemudiannya bergegas ke lokasi dan melihat reptilia itu masih berada dalam parit yang airnya hampir kering.

“Saya lihat buaya itu agak besar, walaupun ramai menghulurkan bantuan, terlalu sukar untuk menariknya ke darat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top