Buaya jinak, 'minta' makanan dari nelayan

Buaya jinak, 'minta' makanan dari nelayan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seekor buaya besar yang diberi nama ‘Butit’ menarik perhatian ramai apabila kelibatnya sering dilihat berdekatan jeti nelayan di Samalaju, Bintulu.

Difahamkan, kehadiran buaya itu bukanlah asing kerana reptilia itu sering muncul di kawasan itu.

Sejak Sabtu lalu, tular rakaman di media sosial, memperlihatkan buaya itu timbul di jeti, dipercayai menunggu nelayan melemparkan makanan.

Dalam video berdurasi 10 saat itu, jelas kedengaran suara seorang nelayan seolah-olah berkomunikasi dengan reptilia itu.

Besar gelombang, sik ada ikan berik dengan kau Butit. Pandei-pandeilah kau beridup Tit. (Ombak besar, tiada ikan untuk kamu. Pandai-pandailah kamu mencari makanan sendiri Butit),” kata lelaki itu.

Buaya itu kelihatan tenang ketika lelaki terbabit merakam video menggunakan telefon bimbitnya.

Buaya jinak dan ‘mesra’ dengan nelayan bukan perkara baharu di Sarawak kerana sebelum ini, perkara sama turut berlaku di Kampung Jaya Bakti atau Loba Cermin di Matang, Kuching.

Walaupun jinak dan tidak pernah mengancam penduduk, buaya yang dikenali sebagai ‘Bujang Cermin’ itu sudah dipindahkan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan ditempatkan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Langkah itu diambil bagi mengelak situasi yang tidak dijangka pada masa depan kerana konflik antara manusia dan buaya sering tercetus di negeri ini.

Terbaharu, Sabtu lalu seorang lelaki ditemukan maut selepas disambar buaya di tebing sungai berhampiran Jalan Matang, di sini.

Mayat mangsa, Jacob Tuan, 32, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.30 tengah hari Sabtu selepas dia dilaporkan disambar buaya ketika memancing di tebing sungai itu bersama beberapa ahli keluarganya kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi yang mengesahkan kejadian itu berkata, keadaan mayat sempurna, namun terdapat kesan luka di beberapa bahagian badan dipercayai akibat gigitan reptilia itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top