am@hmetro.com.my
Seremban: Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku di negeri ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang terbaik mentadbir negeri.
Katanya, pada prinsipnya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah hilang kepercayaan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap beliau.
“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perangnya, jadi kita buat elok-elok,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan, di Stadium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sendayan, di sini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, UMNO/BN menyertai Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata untuk mengurus negara dan negeri secara bersama, bukannya untuk menimbulkan ketidaktenteraman awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu mencadangkan supaya Sidang DUN diadakan segera bagi memberi ruang kepada Aminuddin membuktikan beliau masih memiliki sokongan majoriti untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.
Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan bahawa semua 14 ADUN parti itu sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




