Nairobi: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun antara 25 orang yang maut dengan tragis selepas sebuah bas yang membawa mereka pulang dari upacara pengebumian, terbabit dalam kemalangan di Kenya.
Memetik laporan Mirror, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari satu upacara di barat daya negara itu apabila bas dinaiki terbalik dan terhumban ke dalam parit pada petang Jumaat lalu.
Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari bandar barat Kakamega ke bandar Kisumu.
Selain 25 mangsa yang maut, beberapa yang lain cedera.
Pemandu bas dikatakan hilang kawalan ketika menghampiri bulatan pada kelajuan tinggi lalu terhumban ke dalam parit, menurut Peter Maina, seorang pegawai penguat kuasa trafik wilayah Nyanza. Kisumu terletak dalam wilayah itu.
Nahas itu mengejutkan ramai pihak di rantau ini sekali gus mencetuskan semula gesaan untuk langkah keselamatan jalan raya yang lebih ketat.
Kemalangan jalan raya adalah biasa di Kenya dan rantau Afrika Timur yang lebih luas, di mana jalan rayanya sering sempit dan berada dalam keadaan buruk dengan banyak jalan berlubang.
Polis sering menyalahkan pemandu yang memandu laju sebagai punca kemalangan jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd