am@hmetro.com.my
Kemaman: Kanak-kanak lelaki cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian di Felda Seberang Tayor, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang, mangsa yang berusia 10 tahun dikatakan terkena tembakan senapang angin yang dipercayai dilepaskan jirannya.
Berikutan tembakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang sebelah kiri badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya sedang bermain di hadapan rumah.
Menurutnya, ketika sedang bermain, mangsa terdengar bunyi letupan sebelum merasa sakit di bahagian belakang di bawah bahu kirinya.
“Mangsa menangis sebaik terkena tembakan dan kedua ibu bapanya menenangkan dia serta mendapati terdapat kesan kemerahan di belakang badan anak mereka.
“Bapa bapa mangsa juga menemui sebiji bebola besi di hadapan rumah dan mengesyaki ia dijadikan peluru senapang angin yang digunakan jirannya,” katanya.
Mohd Razi berkata, bapa mangsa kemudiannya ke balai polis membuat laporan kira-kira jam 5 petang.
“Sebaik menerima laporan, polis menahan suspek yang berusia 58 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang.
“Hasil siasatan, polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri masing-masing berukuran 123 dan 107 sentimeter serta sembilan biji bebola besi,” katanya.
Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah mangsa yang berada pada jarak 40 meter dari kediamannya.
“Suspek mendakwa tidak menyangka tembakan itu terkena ke arah mangsa.
“Suspek mendakwa selaras senapang angin itu dibeli menerusi dalam talian tahun lalu manakala selaras lagi direka sendiri bagi tujuan menembak burung,” katanya.
Mohd Razi berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek yang mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu mendapati dia positif morfin.
“Suspek ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




