Tokyo: Seorang kanak-kanak Jepun berusia 10 tahun menjadi individu termuda yang dibenarkan untuk menyediakan ikan ‘fugu’, iaitu satu hidangan istimewa namun boleh membawa maut sekiranya bahagian beracun tidak dibuang dengan betul.
Kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Karin Tabira itu adalah pelajar tahun lima dan lulus ujian bagi membolehkannya menyediakan ikan berkenaan.
Dia sebelum ini menunjukkan kemahirannya dengan menyediakan hidangan nipis sasyimi fugu itu kepada Gabenor Wilayah Kumamoto, Takashi Kimura.
“Saya gembira apabila Gabenor mengatakan ‘oishi’,” yang bermaksud sedap dalam bahasa Jepun,” katanya kepada wartawan ketika ditemui dalam satu acara.
Tabira adalah antara 60 individu yang lulus dalam ujian berkenaan.
Sebanyak 93 orang yang kebanyakannya cef profesional mengikuti ujian di wilayah Yamaguchi.
Tabira berkata, mengikuti ujian itu adalah sebahagian daripada “cuti musim panas yang menggembirakan.”
Fugu sering dihidangkan mentah di restoran mewah di Jepun, di mana chef mesti mempunyai lesen bagi membuktikan mereka boleh memotong dengan selamat sekitar organ yang mengandungi racun berkenaan.
Kadang-kadang terdapat individu yang tidak mempunyai lesen cuba makan haiwan fugu yang ditangkap di laut, sebelum mereka termakan racun dan meninggal dunia.
Tiada had umur dikenakan untuk mengambil ujian fugu, tetapi di Kumamoto, Kimura berkata, hidangan fugu hanya boleh disediakan sekiranya ditemani oleh orang dewasa yang berlesen.
Minat Tabira timbul selepas mendengar berita bahawa seorang pelajar tahun enam di wilayah lain lulus ujian berkenaan dan dia menjalani latihan sejak Februari di Fukunari, sebuah ladang dan pemborong berasaskan di Kumamoto.
“Dia menggunakan tukul untuk memudahkan pisau memotong tulang-tulang keras fugu, dan terpaksa berdiri di atas platform untuk menggunakan meja dapur,” kata Yuki Hirao, Eksekutif Fukunari kepada AFP.
Tambahnya, kakitangan dewasanya juga ada yang gagal dalam ujian berkenaan.
“Untuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun lulus ujian pada percubaan pertama, ia memang menakjubkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




