am@hmetro.com.my
Bandar Baharu: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hanya mampu melihat kucing kesayangannya dalam sangkar dibaham ular sawa berhampiran rumahnya di Kampung Bagan Samak, di sini hari ini.
Kanak-kanak itu kemudian berlari mendapatkan bapa saudaranya untuk meminta pertolongan kerana sedih melihat kucing kesayangannya yang dipanggil ‘Kiki’ itu.
Berikutan itu, bapa saudara kanak-kanak itu yang berusia 23 tahun itu kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.42 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota APM Bandar Baharu tiba di lokasi untuk menangkap ular sawa berkenaan.
“Ketika itu ular sawa sepanjang tiga meter itu sudah selesai membaham kucing kesayangan keluarga itu.
“Anggota kami berjaya menangkap ular sawa berkenaan dan operasi selesai pada jam 1.25 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




