am@hmetro.com.my
Rompin: Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan terbunuh manakala empat cedera akibat kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kereta di Jalan Muadzam Shah – Bahau, dekat Bukit Serok, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu jam 4.46 petang.
Menurutnya, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
Katanya, sebaik tiba, didapati sebuah kereta dinaiki seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki.
“Difahamkan ketika kejadian kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah manakala kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, seorang wanita tersepit dalam kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Enam mangsa termasuk pemandu kenderaan pacuan empat roda dilaporkan cedera akibat nahas itu dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Katanya, dua mangsa iaitu remaja berusia 18 tahun dan kanak-kanak perempuan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Dan Trauma hospital berkenaan.
Sementara, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, mengesahkan kejadian.
Menurutnya, identiti tiga mangsa terbunuh dalam nahas itu belum diperoleh.
“Hubungan semua mangsa terbunuh dalam kejadian itu juga juga belum dapat disahkan.
“Polis masih di lokasi kejadian untuk menyiasat punca kemalangan,” katanya.
Mayat semua mangsa maut akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, untuk proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd