Budak 3 tahun trauma, lintah 'menetap' dalam hidung

Budak 3 tahun trauma, lintah 'menetap' dalam hidung

Bangkok: Misteri seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami pendarahan hidung berterusan berulang selama empat hari akhirnya terjawab apabila keadaan itu sebab seekor lintah bersaiz dewasa sudah bersarang di lubang hidung budak itu.

Mangsa pada mulanya menerima rawatan di Hospital Daerah Om Koi, namun dirujuk ke Hospital Nakornping di daerah Mae Rim, lewat malam 5 April, selepas doktor di hospital pertama gagal mengenal pasti punca sebenar pendarahan berterusan dari lubang hidung kanan kanak-kanak itu.

The Nation melaporkan, difahamkan mangsa mula mengalami masalah itu selepas membasuh muka di sebuah anak sungai berdekatan kawasan tempat tinggalnya.

Doktor bertugas di Hospital Nakornping melakukan pemeriksaan menggunakan kaedah endoskopi dan mendapati terdapat seekor lintah di dalam hidung mangsa.

Prosedur khas menggunakan mesin dilakukan bagi mengeluarkan lintah itu dengan selamat.

Mangsa turut diberikan antibiotik sebelum dibenarkan pulang selepas keadaannya stabil dan tiada lagi simptom berbahaya dikesan padanya.

Pihak Hospital Nakornping berkongsi kes berkenaan di Facebook (FB) rasminya sebagai peringatan kepada ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika membenarkan anak-anak bermain atau berendam di sumber air semula jadi seperti sungai kerana berisiko menjadi habitat lintah.

Ibu bapa juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika anak mengalami pendarahan hidung berulang, terutama selepas bermain air di kawasan semula jadi.

Hospital turut memberi amaran supaya tidak cuba-cuba mengeluarkan lintah sendiri di rumah kerana kaedah yang salah boleh menyebabkan kecederaan lebih serius.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top