am@hmetro.com.my
Kuala Nerang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan tidak sedarkan diri akibat lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Perik, di sini semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed sempat dibawa ke Hospital Jitra di Kubang Pasu sebelum disahkan meninggal dunia sebelum menerima rawatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Affzanisham Mohammad Sham berkata, ibu bapa mangsa memaklumkan anak lelaki mereka pada mulanya hanya bermain pasir di kawasan kolam ikan berhampiran rumah.
Beliau berkata, tidak lama selepas itu, ibu bapa mangsa kemudian menyedari anak mereka tiada di lokasi kejadian sebelum mencarinya di kawasan sekitar.
“Mereka mengesyaki sesuatu selepas menemukan kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan sebelum mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki akibat terjatuh ke dalam kolam berkenaan.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Jitra dan diberikan rawatan kecemasan sebelum dimaklumkan mangsa meninggal dunia jam 11 malam tadi,” katanya di sini hari ini.
Affzanisham berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat dan punca kematian adalah akibat lemas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




