am@hmetro.com.my
Jasin: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan di kemaluan kerana dipercayai digigit lintah ketika bermain di sawah di Sungai Rambai di sini.
Dalam kejadian Ahad lalu itu, mangsa berusia tujuh tahun dikatakan bermain di kawasan sawah sempena satu program yang berlangsung di situ.
Sumber berkata, polis menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari selepas pihak Wad Kecemasan Hospital Jasin menghubungi mereka.
“Mangsa dibawa ibunya ke hospital selepas mengalami kesakitan dan pendarahan ketika bermain di kawasan sawah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada bahagian kemaluan mangsa,” katanya.
Menurut sumber, ibu mangsa turut memaklumkan anaknya hanya memakai seluar pendek tanpa seluar dalam ketika berada di kawasan sawah itu.
Katanya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka bagi pemeriksaan lanjut dan doktor tidak menolak kemungkinan pendarahan berpunca daripada gigitan lintah.
“Namun tiada sebarang unsur kecederaan trauma atau jenayah seksual dikesan,” katanya.
Difahamkan laporan polis dibuat bagi memenuhi prosedur perubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




