Las Medulas, Sepanyol: Seorang kanak-kanak lelaki warga Romania berusia empat tahun disahkan meninggal dunia akibat strok haba di Itali.
Ia ketika kebakaran hutan mengancam sebuah tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sepanyol.
Selain itu, banyak pekan dan bandar di Perancis, Itali dan negara di rantau Balkan diletakkan dalam keadaan tahap merah susulan kebakaran hutan, yang memaksa pemindahan ribuan penduduk.
Susulan cuaca panas yang semakin memburuk, kementerian kesihatan Itali mengeluarkan amaran merah untuk tujuh bandar utama termasuk pusat pelancongan dan sejarah seperti Bologna dan Florence dengan amaran dijangka diperluas ke 16 bandar pada Rabu.
Amaran serupa turut diumumkan di selatan Perancis serta di pesisir pantai Adriatik dan Ionia di Balkan.
Di barat laut Sepanyol, satu kebakaran yang bermula pada Ahad merosakkan tapak perlombongan era Rom yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO di Les Medulas.
Sepanyol berada dalam cengkaman gelombang haba sejak seminggu lalu dengan suhu menghampiri 40 darjah Celsius di banyak kawasan. Di bandar pelancongan selatan Tarifa, lebih 2,000 orang dipindahkan termasuk dari hotel dan pantai, selepas kebakaran yang pada mulanya terkawal kembali marak.
Di negara jiran seperti Portugal dan Itali, keadaan tidak banyak berbeza. Bomba Portugal sedang memadamkan tiga kebakaran hutan besar, manakala di Itali, kira-kira 190 anggota bomba dan tentera dikerah menangani kebakaran hutan di Gunung Vesuvius yang menyebabkan taman negara itu ditutup kepada pelancong.
Negara-negara Balkan turut terjejas teruk dengan puluhan rumah di Albania, Montenegro dan Croatia terpaksa dikosongkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




