am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Polis mengambil rakaman percakapan ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas di sebuah kolam air panas di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, rakaman percakapan membabitkan ibu mangsa berusia 27 tahun dan ibu saudara mangsa berusia 22 tahun diambil hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak bongsu daripada dua beradik itu.
Menurutnya, kedua-dua wanita yang juga dua beradik itu berada di lokasi kejadian dan rakaman percakapan mereka diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita sedang menjalankan siasatan secara mendalam bagi menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut termasuk kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.
“Kita memahami semua ahli keluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan kedua-duanya dilepaskan dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada mereka menguruskan pengebumian mangsa di Felda Keratong Sembilan, Pahang, petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas di kolam air panas di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa yang berusia enam tahun dan bercuti ke Melaka dari Pahang bersama keluarganya ditemui dalam keadaan terapung serta tidak sedarkan diri oleh orang awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




