'Budak U' Filipina guna akal malukan skuad B-23 negara – Dr Pekan

'Budak U' Filipina guna akal malukan skuad B-23 negara – Dr Pekan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekalahan 0-2 dialami skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara di tangan Filipina nyata mengejutkan, malah perkara paling menarik perhatian apabila majoriti barisan pemain skuad muda The Azkals adalah pelajar universiti.

Senario itu sememangnya memalukan jika dibandingkan dengan pemain skuad B-23 negara yang majoritinya adalah tonggak profesional yang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, didapati 13 pemain daripada 23 tonggak yang dibawa oleh Garrath Mcpherson di saingan Piala AFF B-23 di Jakarta, Indonesia adalah pelajar universiti yang berpengkalan di Filipina mahupun di luar negara itu.

Ia termasuk penjaring dua gol Filipina, Otu Banatao yang sebenarnya mahasiswa di Universiti Old Dominion di Amerika Syarikat (AS).

Malah penjaga gol utama pasukan, Nicholas Guimaraes yang menyelamatkan banyak cubaan pasukan negara adalah pelajar di Universiti Juntendo di Jepun, selain dua tonggak pertahanan, Joshua Merino (Universiti Of The Filipina), Noah Leddel (Universiti Yale di AS) dan ramai lagi.

Justeru, kekalahan pertama dalam aksi Kumpulan A itu, semalam tidak boleh diterima ketika pemain negara seperti Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim serta tonggak yang berkelana hingga ke Liga Thailand, Fergus Tierney adalah pemain profesional sepenuh masa berbanding lawan yang bertaraf pelajar.

Situasi berkenaan umpama langit dan bumi apabila sepatutnya Malaysia tidak mempunyai masalah besar untuk menundukkan lawan.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, skuad negara sebenarnya mempunyai kualiti dan pengalaman lebih baik berbanding pasukan Filipina dalam aksi itu.

Namun katanya, apa yang membezakan adalah soal intelektual ketika bermain apabila pemain lawan dilihat cukup berdisiplin dan membiarkan Malaysia menguasai aksi dengan sesekali melancarkan serangan balas.

Katanya, strategi itu berjaya memerangkap pemain negara yang ‘mati kutu’ mengekang serangan kilat lawan yang cukup pantas.

“Kita kuasai perlawanan sebenarnya tetapi dalam bola sepak, mengawal permainan sahaja tidak cukup jika tidak dapat menjaringkan gol.

“Bola sepak adalah soal jaringan, kalau tak dapat gol memang takkan menang. Apa yang berlaku, Filipina pula dilihat lebih bijak apabila mereka meraih gol berbanding kita.

“Kita kawal permainan, tapi apa gunanya bila kita tak dapat gol tetapi lawan pula yang berjaya mendapatkan jaringan.

“Ini beza kita dan Filipina, mereka pemain yang bijak dan berdisiplin,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Pekan berharap pengendali negara Nafuzi Zain segera memperbaiki persembahan pasukan dengan mempelbagaikan bentuk serangan ke kubu lawan.

“Jangan hanya nak main guna sayap sahaja. Dalam perlawanan semalam, pemain Filipina sudah terlalu ‘compact’ di bahagian tengah, tetapi kita tetap nak main melalui tepi dan harap hantaran lintang yang sememangnya takkan berhasil.

“Sepatutnya kita kena ubah permainan kita. Kena ada pemain yang berani masuk dari tengah sama ada main hantaran pendek satu atau dua sentuhan atau pemain yang berani menggelecek dua atau tiga pemain dan cuba mendapatkan penalti atau sepakan percuma di luar kotak.

“Ini adalah kepintaran dalam bola sepak, jika tak dapat gol melalui gerakan boleh saja kita cuba dengan cara tekanan kepada pihak lawan untuk jatuhkan kita dalam kawasan mereka,” katanya.

Selepas ini, Malaysia tiada pilihan apabila wajib menang dalam dua baki aksi menentang Brunei, Jumaat ini dan tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai sebelum boleh berkira-kira mengintai peluang ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top