Budaya buli di sekolah: salah siapa, sistem atau rakyat?

Petaling Jaya: Kebelakangan ini, isu buli di sekolah sekali lagi menarik perhatian orang ramai apabila pelbagai kes beredar di media sosial menunjukkan sisi gelap budaya pelajar masa kini. Dari serangan fizikal hinggalah penghinaan dalam talian, buli telah berkembang menjadi fenomena sosial yang melangkaui sempadan fizikal dan maya. Lebih tragis lagi, fenomena ini bukan sahaja mengorbankan emosi dan maruah pelajar yang menjadi mangsa tetapi juga nyawa mereka. Dalam banyak kes, buli tidak lagi berlaku secara spontan tetapi dirancang, dan dirakam untuk tontonan umum, seolah-olah ia adalah satu bentuk hiburan. Situasi ini menimbulkan persoalan mendalam tentang nilai-nilai kemanusiaan yang semakin terhakis dalam masyarakat moden. Mengapa budaya ini terus berakar umbi dalam institusi yang sepatutnya mendidik nilai-nilai murni? Di mana hendak meletakkan kesalahan kepada sistem pendidikan yang longgar atau kepada orang yang gagal mendidik hati dan minda?

Buli bukan sekadar tindakan yang kejam antara pelajar akan tetapi merupakan cerminan ketidakseimbangan nilai dan empati dalam diri masyarakat. Apabila seseorang pelajar sanggup mencederakan rakan sebayanya untuk merasai kuasa atau hiburan, ini menandakan kewujudan kekosongan moral yang gagal ditanamkan oleh keluarga, sekolah, atau sistem sosial. Lebih membimbangkan lagi, satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kes buli dari 2021 sehingga 2024 yang menujukkan bahawa langkah pencegahan sedia ada masih belum berkesan terhadap seseorang individu.

Salah satu faktor utama yang mencetuskan fenomena ini ialah kelemahan system Pendidikan dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan secara berterusan. Walaupun Kurikulum merangkumi Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Islam, pendekatan yang terlalu berorientasikan peperiksaan menjadikan nilai- nilai murni hanya sebagai teori, bukan amalan. Pelajar diajar untuk cemerlang dalam akademik, akan tetapi tidak semua diajar untuk memahami erti empati dan tanggungjawab sosial. Akibatnya, sekolah kadangkala gagal menjadi tempat untuk membina individu yang seimbang, sebaliknya hanya melahirkan pelajar yang berkebolehan tetapi kurang berperikemanusiaan.

Walau bagaimanapun, menyalahkan sistem sahaja juga tidak adil. Manusia terutamanya ibu bapa, guru dan pelajar itu sendiri juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk atau membasmi budaya buli. Ibu bapa selalunya menjadi cerminan utama sikap anak-anak. Jika rumah tidak mewujudkan kasih sayang dan disiplin, kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku kesat di luar. Begitu juga dengan guru, pendekatan pengajaran yang terlalu menindas atau merendahkan pelajar tertentu boleh mewujudkan perasaan rendah diri dan menggalakkan sebahagian daripada mereka untuk melakukan keganasan terhadap rakan sebaya mereka. Oleh itu, pendekatan komprehensif yang melibatkan ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu dilaksanakan untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan.

Selain itu, pengaruh media sosial juga merupakan salah satu pendorong utama fenomena buli siber ini. Aplikasi seperti TikTok, Instagram dan Telegram telah menjadi platform untuk menyebarkan penghinaan, ancaman dan rakaman video buli yang memalukan mangsa. Dalam konteks ini, teknologi bukanlah punca sebenar, tetapi cara orang ramai menggunakannya. Ketiadaan kawalan diri dan nilai empati menjadikan dunia maya sebagai medan baharu untuk menormalisasikan keganasan.

Pihak kerajaan dan institusi pendidikan mesti berani menjalankan pembaharuan secara menyeluruh. Dan perlu memperkukuhkan pelaksanaan dasar sedia ada seperti “Dasar Menangani Buli Di Sekolah” dengan menekankan kepada aspek pencegahan dan pemulihan. Program bimbingan seperti sesi kaunseling berstruktur dan latihan empati dalam kalangan pelajar dan guru haruslah lebih dipergiatkan. Seterusnya, Kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Agensi Keselamatan boleh mewujudkan sistem sokongan yang lebih komprehensif kepada sekolah mahupun mangsa itu tersebut. Sekolah juga perlulah menyediakan saluran yang tertutup agar mangsa yang dibuli berani untuk membuat laporan dan tampil ke hadapan tanpa sebarang intimidasi daripada pelaku atau tekanan sosial.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu menolak pemikiran seperti “buli adalah lumrah zaman sekolah”, ini adalah satu pemikiran yang salah dan meremehkan kesakitan yang dirasai oleh mangsa dan membolehkan pelaku buli tersebut terlepas daripada kesalahan mereka tanpa rasa bersalah. Apabila pemikiran tersebut di amalkan dan tidak di ubah, pelaku buli tersebut akan merasa mereka berperilaku secara betul dan merasa bangga dengan tindakan tersebut. Media masa juga mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan, bukan tertumpu kepada berita sensasi sahaja, tetapi untuk memberi penyelesaian. Mendidik orang ramai tentang kesan psikologi buli adalah lebih bermanfaat daripada menyebarkan berita yang tidak betul.

Akhirnya, untuk menjawab soalan “Siapa yang harus dipersalahkan, sistem atau rakyat?”, jawapannya adalah kedua-duanya. Sistem yang longgar membuka ruang kepada orang yang telah hilang nilai kemanusiaan dan empati dalam diri mereka. Penyelesaian mesti datang daripada keseimbangan antara dasar yang kukuh dan hati nurani yang sedar. Buli tidak akan berakhir dengan undang-undang sahaja tetapi dengan perkembangan jiwa yang memahami bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada penindasan ke atas orang lain, akan tetapi pada keupayaan untuk berbelas kasihan.

Oleh: Nur Susilawati Binti Lani
Pelajar Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Universiti Malaya,
susilawatilani02@gmail.com

Scroll to Top