Budaya tender terus perlu dihentikan – Anwar

Budaya tender terus perlu dihentikan – Anwar

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan budaya penganugerahan kontrak secara runding terus tidak boleh diteruskan.

Perdana Menteri berkata, amalan yang hanya membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan salah guna kuasa itu juga tidak boleh ditolak ansur.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, seluruh jentera dan sendi kekuasaan kerajaan mesti patuh tunduk pada hukum dan undang-undang, bukan sebaliknya.

“Bagi menjawab cabaran ini, kerajaan sudah pun menggerakkan beberapa kerangka penting. Kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) digarap bukan sahaja dalam memperkukuh ekonomi, tetapi bagi meleraikan segala kebejatan (kerosakan) yang membelit negara sejak sekian lama.

“Usaha memecahkan hegemoni (pengaruh atau dominasi) dan monopoli kartel, daripada telur, ayam, sayur-sayuran, hinggalah ubat-ubatan sedang digerak dan dilaksanakan, meski jalannya penuh onak dan duri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengakui sukar untuk memberhentikan budaya penganugerahan kontrak secara rundingan terus.

Namun, katanya, keberanian melakukan anjakan itu adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah negara dan memastikan warisan kepada generasi akan datang bukanlah hutang, kebejatan dan kesengsaraan, tetapi Malaysia yang adil, bermaruah serta berdaya saing.

“Berpayungkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka peralihan besar, usaha kita adalah untuk menaikkan siling dan lantai iaitu menstruktur semula ekonomi supaya bernilai tinggi, akhirnya memberi limpahan hasil yang dapat mengangkat darjat hidup rakyat.

“Tidak akan berjaya usaha menaikkan siling dan lantai tanpa tatakelola terbaik dalam pentadbiran; yang mempertahan integriti institusi, ketegasan membanteras salah laku, pembaziran sumber serta rasuah selain keutamaan menguruskan kewangan negara dengan telus, cekap dan berintegriti,” katanya.

Menyingkap sejarah kewangan negara, Perdana Menteri berkata, ia penuh dengan pengajaran gelap dan pahit yang hampir semuanya adalah ketelanjuran lalu.

“Ini daripada skandal Maminco sekitar 1980-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar akibat urus niaga Forex, hinggalah tragedi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan perolehan ketenteraan.

“Terkini, skandal Jana Wibawa menjadi bukti nyata persoalan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, malah tuntutan mesti kita laksanakan.

“Kita mesti memastikan bahawa tidak ada lagi pengulangan seumpamanya pada masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top