am@hmetro.com.my
Alor Setar: Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI95) mencatatkan transaksi pembelian petrol RON95 berjumlah RM22.9 juta dalam tempoh sehari bersamaan 11.5 juta liter di seluruh negara semalam.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata angka itu membabitkan kira-kira lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selepas fasa kedua program BUDI95 dibuka pada 28 September.
Katanya, pelaksanaan program setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di stesen minyak selain menunjukkan sistem penyasaran subsidi yang dibangunkan kerajaan berfungsi dengan baik.
“Program BUDI95 diwujudkan bagi memastikan subsidi RON95 disalurkan secara bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.
“Ia juga bertujuan mengenal pasti isu di lapangan agar dapat ditangani segera,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan di Stesen Minyak BHP, di sini hari ini.
Lim berkata seramai 16.4 juta warganegara dengan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi ini dengan had maksimum 300 liter sebulan.
Katanya, larangan pembelian RON95 oleh kenderaan asing masih kekal di bawah penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sebagai perbandingan, harga petrol RON95 di Singapura mencecah RM9.02 seliter, manakala di Thailand sekitar RM5.68 seliter,” katanya.
Beliau berkata kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil penyasaran subsidi ini, bergantung kepada turun naik harga minyak mentah dunia.
Penjimatan itu, katanya, akan disalurkan semula kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan prasarana asas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




