DALAM bulan Ramadan yang penuh berkat ini, tradisi berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat menjadi saat yang paling dinantikan.
Salah satu cara yang semakin popular untuk berbuka puasa adalah dengan menikmati juadah bufet Ramadan yang memberi peluang untuk menikmati variasi hidangan dalam suasana yang meriah dan penuh kegembiraan.
Namun dalam kegembiraan ini, kita perlu berhati-hati dalam memilih tempat yang menyajikan makanan. Bagi umat Islam, halal bukan sekadar status, tetapi ia tanggungjawab yang perlu dijaga dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam pemilihan makanan.
Halal bukan hanya berkenaan dengan bahan makanan, tetapi ia menyeluruh termasuklah tentang cara penyediaannya.
Islam sangat menekankan aspek kebersihan, kualiti dan keberkatan dalam setiap makanan yang kita makan seperti dinyatakan dalam ayat ke-172 surah al-Baqarah.
Ayat ini jelas meletakkan tanggungjawab ke atas individu Muslim untuk memastikan apa yang masuk ke dalam tubuh adalah halal, bersih dan tidak memudaratkan.
Dalam masa yang sama, pengusaha makanan juga memikul amanah besar agar tidak mempermainkan sensitiviti halal demi keuntungan komersial.
Istilah halal dan peruntukan undang-undang
Di Malaysia, penggunaan istilah halal tidak boleh diiklankan sewenang-wenangnya. Perkara ini diperuntukkan secara jelas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2019.
Melalui peruntukan ini, hanya pihak yang memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada pihak berautoriti iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dibenarkan menggunakan apa-apa perihal, pernyataan, logo atau representasi yang membawa maksud halal.

PILIHLAH restoran yang halal di pasaran. Foto Canva
Ini termasuk penggunaan istilah seperti iftar, ditanggung halal, bufet Ramadan atau apa-apa ungkapan yang secara langsung mengaitkan makanan tersebut dengan ibadah berbuka puasa.
Mana-mana pihak yang mengiklankan perkataan halal tanpa sijil halal yang sah boleh disiasat dan dikenakan tindakan. Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi syarikat atau denda dan penjara bagi individu, bergantung kepada keseriusan kes.
Peruntukan ini jelas bertujuan melindungi pengguna daripada kekeliruan dan penipuan berkaitan status halal makanan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat pengusaha yang memilih istilah lebih umum seperti jamuan makan malam atau istilah neutral lain apabila mereka tidak memiliki sijil halal.
Langkah ini, walaupun kelihatan kecil, sebenarnya membezakan antara kejujuran dan penyalahgunaan istilah agama.
Kesedaran halal dalam menyediakan makanan
Bufet Ramadan bukan sahaja soal menyediakan makanan yang cukup, tetapi juga tentang menyediakan makanan halal yang berkualiti dan berkhasiat.
Pengusaha restoran perlu memberi perhatian kepada aspek pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam hidangan mereka, terutamanya ketika berbuka puasa.

SATU momen yang berharga pada bulan Ramadan apabila dapat berbuka puasa bersama keluarga. Foto Canva
Makanan yang disediakan haruslah memenuhi standard halal yang ditetapkan oleh Jakim.
Dalam konteks ini, pengusaha perlu memastikan bahan-bahan yang digunakan bukan sahaja halal dari segi sumbernya, tetapi juga bersih dan segar.
Penyediaan makanan yang memenuhi keperluan kesihatan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial pengusaha, memastikan semua golongan dapat berbuka puasa dengan selamat dan tanpa risau akan bahan yang digunakan dalam hidangan tersebut.
Kepentingan menjaga integriti halal
Industri halal Malaysia bukan sahaja penting untuk memenuhi keperluan umat Islam di dalam negara, tetapi juga untuk menjaga reputasi Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran makanan halal.
Halal bukan sahaja satu keperluan agama, tetapi juga satu jenama yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa, memberi Malaysia kelebihan daya saing dalam sektor makanan global.
Sebarang penyalahgunaan label halal akan merosakkan integriti industri ini. Isu penggunaan logo halal palsu atau pengeliruan dalam pensijilan halal boleh memberi impak buruk bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada ekonomi negara.
Ini kerana industri halal adalah salah satu sektor yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara melalui eksport produk makanan halal ke luar negara, terutamanya ke negara-negara dengan populasi Muslim yang besar.
Jika kepercayaan terhadap sistem pensijilan halal negara tergugat, ia akan memberi kesan buruk kepada eksport, sekaligus merugikan ekonomi negara.
Sebagai contoh, jika sebuah restoran yang tidak mendapat pensijilan halal cuba menarik pelanggan dengan menggunakan istilah halal, mereka bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga merosakkan kepercayaan umat Islam terhadap industri halal negara.

PEMILIHAN makanan yang halal mempengaruhi ibadah umat Islam. Foto Canva
Oleh itu, penguatkuasaan yang ketat terhadap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan logo halal adalah untuk memastikan kepercayaan pengguna tidak terhakis dan integriti industri halal Malaysia terpelihara.
Kesimpulannya, dalam menyambut bulan yang mulia ini, kita bukan sahaja perlu memastikan bahawa ibadah puasa kita dijalankan dengan sempurna, tetapi juga bahawa setiap aspek kehidupan kita, termasuk pemilihan makanan, menepati prinsip halal yang telah ditetapkan oleh syariat.
Sebagai pengguna, kita berperanan penting untuk memastikan makanan yang kita pilih adalah halal dan berkualiti, serta mengelakkan pembaziran yang hanya merosakkan keberkatan puasa.
Pengusaha pula mempunyai tanggungjawab besar untuk menyediakan hidangan yang memenuhi piawaian halal yang sah, agar setiap hidangan yang disajikan memberi manfaat kepada umat Islam tanpa sebarang keraguan.
***Penulis, MUHAMMAD REZA AMIN REZA ADNAN merupakan Pensyarah Jabatan Profesional Penjagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Hayat, Management and Science University (MSU)
Ringkasan AI
- Bulan Ramadan menyaksikan tradisi berbuka puasa yang meriah bersama keluarga dan sahabat dengan menikmati juadah bufet Ramadan
- Pentingnya memilih tempat berbuka yang menawarkan makanan halal, yang mana halal merangkumi bukan hanya bahan tetapi juga cara penyediaannya
- Undang-undang di Malaysia ketat dalam penggunaan istilah halal, di mana hanya mereka yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dari Jakim dibenarkan menggunakan istilah tersebut dalam promosi
- Penyalahgunaan label halal boleh membawa kepada tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM5 juta, untuk melindungi pengguna dan menjaga integriti industri halal
- Makanan halal dalam bufet Ramadan harus tidak hanya memenuhi standard halal Jakim, tetapi juga seimbang dan berkhasiat, untuk memastikan kepuasan dan keselamatan pengguna semasa berbuka puasa



