Buka jalan usahawan muda

Buka jalan usahawan muda

suliati@hmetro.com.my

SEJAK diperkenalkan di Malaysia pada 2015, Shell LiveWire kekal sebagai antara program pembangunan perusahaan paling konsisten dalam menggilap bakat usahawan muda.

Berbeza dengan inisiatif lain, program ini bukan sekadar memberi dana, malah membina asas keusahawanan menerusi latihan intensif, bimbingan berterusan dan akses kepada rangkaian global.

Ia bagi memupuk generasi usahawan inovatif yang mampu menghasilkan penyelesaian perniagaan sebenar, seiring dengan cabaran sosio-ekonomi semasa.

Bermula di Sabah pada 2015, kemudian diperluaskan ke Sarawak (2016) dan seterusnya Semenanjung Malaysia (2022), Shell LiveWire menjadi platform penting yang melahirkan pelbagai perusahaan baharu berimpak tinggi.

Tahun ini, edisi Shell LiveWire Semenanjung Malaysia sekali lagi berjaya membuktikan potensi bakat tempatan.

Selepas melalui bootcamp intensif dan pusingan pitching yang penuh persaingan, lima syarikat tempatan iaitu Earnest Grower Sdn Bhd, Lorry System Sdn Bhd, Mensilin Green Energy Sdn Bhd, Midwest Composites Sdn Bhd dan Rebooz Technology Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang.

Mereka tidak hanya membawa idea segar, tetapi berjaya membuktikan kemampuan untuk menjadikan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan perniagaan.

Sebagai ganjaran terhadap usaha dan kejayaan itu, setiap pemenang tidak hanya menerima geran permulaan RM10,000, tetapi juga bimbingan perniagaan selama setahun daripada Shell dan peluang berhubung dengan rangkaian LiveWire di peringkat global.

Earnest Grower Sdn Bhd

Earnest Grower Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2023 dengan matlamat membangunkan model pertanian lestari yang mengutamakan ‘regenerative farmin’, tidak menyangka niat untuk sekadar mencuba nasib bertukar menjadi satu kejayaan yang cukup bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ernest Lee berkata, mereka menyertai Shell LiveWire 2025 kerana mahu pembinaan kapasiti dan rangkaian.

Menurutnya platform ini juga dilihat sebagai peluang untuk menguji idea, memperhalusi model perniagaan dan mendapatkan pandangan daripada mentor serta pakar industri.

“Apabila diumum sebagai salah satu pemenang, perasan kami bercampur baur antara syukur, teruja dan rasa dihargai.”Kemenangan ini juga adalah pengiktirafan besar kepada visi kami yang sering disalah erti atau dianggap terlalu ‘jauh ke depan’.

“Ia juga memberikan keyakinan bahawa arah kami adalah betul,” katanya.

Selepas kemenangan ini, syarikat pertanian lestari itu bukan sahaja meraih pengiktirafan, malah semakin diyakini mampu menjadi peneraju dalam bidang ‘regenerative farming’.

Kini perniagaan mereka lebih tersusun dengan hala tuju yang jelas termasuk menyasarkan mengembangkan ladang sehingga 2,000 ekar menjelang 2030 serta membina rangkaian digital untuk pertanian regeneratif.

“Shell LiveWire bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform pembangunan Program ini membantu pemula memahami realiti pasaran, memperkukuhkan struktur bisnes mereka dan membina keyakinan untuk bergerak ke hadapan.

Lorry System Sdn Bhd

Bagi Lorry System Sdn Bhd, syarikat teknologi tempatan yang menjalankan perniagaan dalam pembangunan perisian khususnya Sistem Pengurusan Pengangkutan (TMS) yang dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Shell LiveWire memberi akses kepada ilmu praktikal, bimbingan pakar dan rangkaian yang sangat bernilai.

Pengasas bersama, Parimala Ponnusamy berkata, syarikatnya menyertai Shell LiveWire sebagai peluang besar untuk mendapatkan bimbingan, membina rangkaian dan mengukuhkan model perniagaan supaya lebih berdaya saing di peringkat nasional dan global.

“Ia benar-benar membuka mata kami bagaimana mahu memperkemaskan penyampaian, memperbaiki model perniagaan dan meningkatkan keyakinan diri.”Cabaran terbesar pula ialah kami langsung tiada pengalaman pembentangan atau pitching,” katanya.

Dengan usaha yang tidak pernah terhenti, kerja keras mereka akhirnya berbaloi apabila Lorry System diumumkan pemenang Shell LiveWire Semenanjung Malaysia 2025, sekali gus menjadi pengiktirafan besar terhadap usaha mereka memacu inovasi teknologi dalam industri pengangkutan negara.

Selepas kemenangan itu, Lorry System yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 2024 itu kini menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan sistem kepada 1,000 lori menjelang akhir 2026, selain membangunkan solusi berasaskan data 5G dan AI untuk meningkatkan keselamatan serta kecekapan operasi.

Mensilin Green Energy Sdn Bhd

Isu pencemaran plastik yang semakin membimbangkan dan tidak terkawal mendorong Mensilin Green Energy Sdn Bhd yang diterajui Mohamad Adan Yusof dan Ahmad Luqman Mohamad Adan memulakan perniagaan yang memfokuskan kepada penyelesaian pemulihan tenaga daripada sisa plastik melalui kaedah Plastic-to-Fuel (PTF).

Mula beroperasi secara aktif sejak 2023, sebagai syarikat yang masih dalam fasa skala awal, pihaknya melihat program itu sebagai satu platform penting untuk mematangkan model perniagaan dan meningkatkan kredibiliti teknologi mereka di mata pihak berkepentingan.

Justeru, apabila melihat perkongsian mengenai program ini menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sesawang Shell, mereka tidak melepaskan peluang yang ada.

Ahmad Luqman berkata sepanjang program itu, cabaran utama pasukannya adalah bagaimana untuk menterjemahkan nilai teknologi mereka dalam bentuk impak ekonomi dan sosial yang boleh diukur.

“Salah satu alat paling berharga yang kami peroleh ialah kerangka peta empati (empathy map).

“Ia sangat membantu kami untuk memahami pelanggan pada tahap yang lebih mendalam, sekali gus membolehkan kami menyesuaikan penyelesaian dengan lebih berkesan mengikut keperluan sebenar dan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Ahmad Luqman berkata mentor yang dilantik sangat berpengalaman dan memberi perspektif kritikal bagaimana menstrukturkan perniagaan kami agar lebih menarik kepada pelabur, mesra dasar kerajaan dan relevan kepada pengguna akhir.

“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah perjalanan pembangunan kapasiti keusahawanan yang praktikal dan berimpak,” katanya.

Midwest Composites Sdn Bhd

Isu pelepasan karbon dan kebergantungan kepada bahan industri berasaskan fosil mendorong Midwest Composites Sdn Bhd tampil dengan inovasi unik, membangunkan bahan komposit berasaskan gentian tumbuhan yang mesra alam, ringan, tetapi tetap berprestasi tinggi.

Ditubuhkan pada 2020 dan berpangkalan di Seremban, syarikat ini adalah peneraju dalam komposit berasaskan biokomposit yang diperbuat daripada gentian tumbuhan boleh diperbaharui seperti kenaf, jut, rami dan minyak sawit EFB bagi menggantikan bahan konvensional seperti gentian kaca, gentian karbon dan plastik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sethu Raaj berkata, penyertaan dalam Shell LiveWire 2025 menjadi titik penting apabila mereka berpeluang memperhalusi model perniagaan, menguji cadangan nilai dan mendapatkan bimbingan mentor industri.

Katanya, antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah bagaimana menyampaikan produk teknikal mereka dalam bahasa mudah difahami tanpa terlalu sarat dengan istilah saintifik.

“Di sini nilai Shell LiveWire. Semasa sesi memperhalusi cara untuk manarik perhatian audien dan bimbingan, saya menyedari kejelasan dan penceritaan adalah sama pentingnya dengan inovasi itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu juga membuktikan mereka berada di laluan betul dan mendorong seluruh pasukan untuk bekerja lebih keras.

“Menerusi kemenangan ini, kami merancang untuk melabur lebih lanjut dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan komposit berasaskan bio generasi akan datang menggunakan sisa pertanian sumber tempatan seperti biojisim minyak sawit, jut dan kenaf.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi peneraju serantau dalam bahan gentian semula jadi termaju dan penanda aras global untuk pengilangan kitaran di Asia Tenggara,” katanya.

REBOOZ Technology Sdn Bhd

REBOOZ Technology adalah syarikat yang menghasilkan pelbagai teknologi termaju seperti eBox, SuperCell, H2E, LifeBox, Awana Eco Chill Air Cooling System, dan Hybrid Aircon.

Kini, syarikat ini dalam fasa pengkomersialan di Malaysia dengan pelancaran produk eBox generasi baharu, termasuk eBox Mobile V3, eBox SuperCell dan eBox Hybrid.

Justeru, syarikat yang diasaskan Muhamad Ariel Maseri dan Ewe Chiang @ Tanaka Choong menyertai Shell LiveWire kerana program itu bukan sekadar latihan tetapi membentuk semula model perniagaan dengan sokongan mentor berpengalaman.

Muhamad Ariel berkata, inspirasi terbesar mereka datang daripada misi mencipta dunia lebih bersih dengan menjadikan teknologi hijau mudah diakses semua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top