Buka kunci 'lumrah cinta'

Buka kunci 'lumrah cinta'

am@hmetro.com.my

Selepas hampir tujuh tahun tersimpan lagu Lumrah Cinta karya Syamel dan Aepul Roza akhirnya ‘dihidupkan’ oleh Puteri Khareeza.

Gandingan komposer dan penyanyi berbakat ini dilihat cukup istimewa dan mempunyai keunikan tersendiri.

Puteri Khareeza yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan lagu ini, tampil dengan persembahan vokal matang dan penuh penghayatan.

Bagi Puteri Khareeza, pengalaman merakamkan lagu itu sangat bermakna.

“Saya sangat teruja dan pada masa sama gementar sebab Syamel dan Aepul ialah nama besar dalam industri yang saya sendiri kagumi.

“Mereka sangat baik sepanjang sesi rakaman dan kedua-duanya memberi tunjuk ajar yang berharga untuk menjayakan lagu ini.” katanya.

Mengenai cabaran menyanyikan lagu ini pula, Puteri Khareeza memberitahu lagu berkenaan memerlukan penghayatan yang mendalam.

“Lagu ni bukan mudah untuk dibawakan. Cabaran utama adalah cara menyampaikan penghayatan setiap bait lirik, lebih-lebih lagi apabila demo asal lagu ini dirakam sendiri oleh komposer, Syamel.

“Dari segi vokal pun, memang mencabar,” tambah beliau yang hanya mengambil masa dua jam untuk menyiapkan rakaman.

Menurut Aepul Roza pula, idea asal lagu ini datang daripada Syamel, dengan melodi awal yang sudah dicipta sekitar tujuh tahun lalu.

“Tahun ini, rezeki kami jumpa penyanyi yang sesuai untuk lagu ini. Sedikit ubah suai pada melodi dan lirik dan alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan.

“Lagu rentak balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan dan gabungan penulisan saya dengan Syamel dalam lagu ini memberikan rasa yang lain daripada biasa,” katanya.

Lagu yang diterbitkan Alternate Records ini mengangkat kisah hati yang pernah kecewa, namun tetap reda untuk kembali membuka ruang kepada cinta.

Dengan sedikit sentuhan baharu daripada segi lirik dan susunan muzik, Lumrah Cinta kini tampil lebih matang, penuh emosi dan dekat di hati, sekali gus sesuai menjadi peneman jiwa-jiwa yang pernah terluka.

Ia boleh didengar di semua platform digital, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top