SEREMBAN : Golongan wanita perlu diberi ruang luas untuk tampil memimpin dan menyumbang secara aktif dalam pelbagai peringkat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerjaan negeri membuka ruang itu seluas-luasnya bermula dari peringkat kampung sehinggalah ke pentadbiran negeri.
Katanya, latihan, pendedahan dan peluang perlu diberi agar suara wanita terus menjadi suara rakyat terutamanya dalam isu pendidikan, kesihatan, perumahan dan alam sekitar.
“Wanita Madani Kebangsaan (Wadani) yang dilancarkan hari ini tidak boleh sekadar menjadi inisiatif atas kertas.
“Ia mesti berfungsi sebagai platform pemerkasaan sebenar, yang bukan hanya menempatkan wanita sebagai penyokong, tetapi juga sebagai peneraju utama dalam masyarakat.
“Dengan kepimpinan berteraskan empati, ketelusan dan kecekapan, wanita membawa nilai tambah yang unik dalam membentuk dasar dan keputusan yang menyentuh kehidupan seharian rakyat, ”katanya pada Majlis Pelancaran Wadani Negeri Sembilan (WADANI) di di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, wanita bukan sekadar pelengkap dalam naratif pembangunan malah pencorak masa depan negeri.
“Negeri Madani ialah negeri yang menjamin hak wanita, menyediakan peluang saksama, melindungi mereka dari diskriminasi dan keganasan serta mengiktiraf mereka sebagai pemegang amanah bersama dalam membina negeri berteraskan nilai dan kemajuan.
“Wanita yang celik isu, aktif menyumbang, berani bersuara dan menjadi pelindung kepada yang tertindas.
“Kita mahu melihat wanita Negeri Sembilan menerajui perubahan sosial, memperkasakan keluarga, memacu ekonomi komuniti dan menjadi benteng moral di tengah-tengah cabaran zaman,” katanya. – UTUSAN