Putrajaya: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka atau menutup sekolah dibuat berasaskan data, maklumat serta analisis selain mengambil kira pandangan semua pihak.
Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dalam menghadapi ‘perang’, tiada keputusan flip flop dilakukan, tetapi berdasarkan analisa semasa, data dan maklumat semata-mata.
“Apapun pendekatan strategi dibuat dalam keadaan krisis adalah berdasarkan data dan maklumat yang kita ada.
“Kita perlu ingat tidak ada sesiapa antara kita pernah melalui keadaan ini, sebab itu kita buat keputusan berdasarkan maklumat dan data yang ada serta mengambil kira keadaan, kekangan, risiko dan apa sahaja keadaan yang boleh dilihat dan dilaksanakan,” katanya dalam temu bual khas di pejabatnya di sini.
Katanya, dalam tempoh setahun pandemik menular banyak pengalaman diperoleh dan KPM belajar melalui keadaan itu bagi menempuh hari mendatang.
“Mungkin ramai yang underestimate (memandang rendah). Selepas kita melalui gelombang yang sedikit kita tak tahu ia boleh capai setinggi mana kes baharu.
“Sebab itu kita bergerak dalam keadaan yang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang dan setiap keputusan dibuat, kita ambil kira pandangan semua pihak, tetapi tiada antara kita yang pernah melaluinya dan boleh jangka apa keadaan masa depan.
“Kita belajar banyak berdasarkan data jadi kita akan terus bergerak dan lakukan yang terbaik,” katanya.
Ditanya apakah asas KPM membuat keputusan membuka sekolah ketika kes Covid-19 masih tinggi, Dr Radzi berkata, KPM bertindak berdasarkan maklumat, data dan analisa dibuat.
“Kita melakukan perbincangan yang mendalam, kita nak buka hari apa, siapa nak masuk sekolah dulu, itu diteliti satu persatu dan disebabkan itu saya ambil pendekatan kita buat keputusan ini dengan niat yang ikhlas.
“Setiap keputusan ini kita tahu di luar sana anak-anak daripada pelbagai latar belakang sosial ekonomi, ada sebahagian dalam tempoh ini yang risiko keciciran cukup tinggi, ada mendapat akses dan ada tidak, ada bekerja membantu ibu bapa dan banyak faktor kita ambil kira,” katanya.

Menurutnya, komponen paling penting yang menjadi keutamaan KPM adalah keselamatan.
“Sebab itu kita buat keputusan buka dan tutup sekolah ini kita bincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dalam konteks pembukaan sekolah ini kita terbuka, tetapi apa yang kita perlu buat apakah yang terbaik dan saya perlu akui tidak boleh puaskan hati semua pihak namun berdasarkan maklumat yang ada, data dan analisa dibuat apa yang terbaik, sama ada orang nak marah Menteri, saya mengambil tanggungjawab ini.
“Daripada awal lagi saya masuk kementerian ini (KPM) saya cakap saya masuk sini bukan untuk jadi popular, saya masuk sini untuk buat keputusan yang kita yakin terbaik berasaskan maklumat, data dan analisa,” katanya.
Ditanya mengenai pembukaan sekolah secara berperingkat bermula 1 Mac lalu, Dr Radzi berkata, pengalaman mengurus pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketika pembukaan semula sekolah pada Jun tahun lalu memberi input dan persediaan lebih baik kepada KPM untuk melaksanakan pembukaannya pada kali ini.
“Masa buka sekolah yang pertama dulu, ia tidak mudah sebab kita tidak pernah buka sekolah dalam keadaan pandemik, sebab itu kita rangka lengkap SOP yang diperincikan satu persatu.
“Kini, sebahagian mereka termasuk murid sudah memahami SOP, cabaran utama kita sekarang adalah berkaitan isu penyuraian. Dalam sekolah okay, sewaktu hantar (anak) ke sekolah pun amat tersusun, tapi waktu pulang masih ada yang perlu diperbaiki.
“Kita lihat, kali ini pun ibu bapa terutama pra sekolah dan darjah satu juga hanya boleh hantar anak di pagar sekolah, berbeza dengan dulu sampai ke dalam kelas, saya kagum dengan pematuhan oleh ibu bapa kali ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi menjamin masalah penyuraian ini diselesaikan, KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turun padang meninjau sendiri bagaimana urusan masuk dan pulang murid ke sekolah berjalan.
“Kita sudah senaraikan lima model untuk sekolah lihat yang mana paling sesuai. Kalau dia kata lima ini tidak cukup dan dia boleh laksana model yang mereka anggap sesuai, tiada masalah. Asalkan bila murid ini keluar saja, penyuraian boleh dilaksana dengan teratur,” katanya.




