Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertahankan tindakan jaguh badminton Cheah Liek Hou yang meluahkan kekecewaannya terhadap Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kerana belum menerima insentif RM60,000 yang dijanjikan kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.
Jaguh badminton para negara itu kini bakal berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan kerana MPM menganggap kenyataan terbuka di laman media sosial mencalarkan kredibiliti dan merencatkan kemasukan penaja di masa hadapan.
Hannah menegaskan tindakan Liek Hou itu tidak melanggar disiplin dan beliau hanya menuntut haknya yang telah dijanjikan MPM.
Beliau juga mengingatkan luahan kekecewaan itu bukanlah isu disiplin kerana ia berpunca daripada kelewatan MPM sendiri melunaskan janji.

“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Liek Hou merupakan seorang atlet yang rajin dan setiap kali bertanding, membawa pulang pingat untuk Malaysia.
“Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin. Beliau hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri,” tegasnya dalam kenyataan.
Hannah turut mengingatkan MPM bahawa penajaan yang diperoleh badan itu adalah kerana penaja mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet negara.
Ia bukanlah semata-mata untuk menaja MPM sahaja, tegasnya.
Dalam pada itu Hannah mengingatkan MPM tidak berhak bertindak bersendirian dalam isu melibatkan Liek Hou.
Katanya, hal ini kerana Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri,” tegasnya.

Sebagai rekod, Liek Hou mencipta sejarah selaku pemenang emas pertama acara badminton para di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum mempertahankan kejuaraan itu di Paris tahun lalu.
Pada Ogos 2024, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengumumkan tiga syarikat tampil menaja insentif wang tunai dengan nilai RM60,000 untuk pemenang emas, RM30,000 (perak) dan RM15,000 (gangsa).
Dalam hantaran berasingan selepas meluahkan kekecewaanya di media sosial, Liek Hou menjelaskan isu berkenaan hanya membabitkan MPM dan tidak melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau MSN.
“Berkenaan tuntutan ini, ia hanya melibatkan pihak tertentu (MPM) yang menjanjikan habuan, bukan hanya kepada saya tetapi juga rakan-rakan paralimpik lain.
“KBS dan MSN tiada kaitan. Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah menguruskan pembayaran insentif SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) pada 26 Oktober 2024, sebulan selepas Paralimpik Paris berakhir.
“Kami hanya menuntut apa yang dijanjikan sahaja, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya.




