Bukan cubaan culik, budak lelaki mahu lari rumah

Bukan cubaan culik, budak lelaki mahu lari rumah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan tiada cubaan melarikan seorang kanak-kanak lelaki di Setia Alam dekat sini seperti yang ditularkan.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam Superintendan Ramsay Embol berkata kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berdekatan sebuah pusat beli belah.

Katanya, polis terdahulu menerima laporan pada jam 11.16 malam semalam (28 Ogos) daripada bapa kanak-kanak berkenaan yang didakwa diculik dua lelaki warga asing menggunakan sebuah kenderaan.

“Setelah siasatan terperinci dijalankan polis mendapati dakwaan kejadian culik tersebut tidak berlaku seperti mana yang tular di media sosial.

“Setiap hari, mangsa akan mengikuti pengajian al-Quran pada waktu malam di surau berdekatan dengan rumahnya darijam 8 hingga 9 malam dan pada hari kejadian (semalam) mangsa tidak terus pulang ke rumah sebaliknya berjalan seorang diri menuju ke kawasan pusat beli belah dipercayai dengan niat ingin melarikan diri.

“Mangsa kemudian diselamatkan oleh pasangan yang kebetulan melalui jalan itu dan sebelum dihantar pulang, mangsa dibawa ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan.

“Setelah selesai membeli makanan, mangsa meminta kebenaran untuk ke tandas dan terus membuat panggilan kepada bapanya. Kanak-kanak itu terpaksa mereka cerita (diculik) kerana takut dimarahi oleh bapanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati tiada kejadian culik berlaku seperti mana yang diceritakan oleh mangsa.

Katanya, mangsa dilihat sedang membeli makanan bersama seorang lelaki yang membantu mangsa pada masa tersebut.

“Saksi ini sudah dikenalpasti dan dipanggil untuk dirakam percakapan dan kes dikasifikasikan sebagai No Futher Action (Tiada Tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top