“Individu dalam foto itu memang saya cuma situasi sebenarnya saya bukan ditahan, tapi sebaliknya pihak polis sedang meleraikan salah faham.”
Demikian penjelasan pelawak tersohor, Saiful Apek yang menafikan dirinya ditahan pihak berkuasa seperti yang digambarkan dalam foto tular, baru-baru ini.
Menurut anggota kumpulan Senario itu, gambar tersebut sebenarnya dirakam ketika pihak polis sedang meleraikan satu pertelingkahan antara dirinya dan seorang individu yang tidak dikenali.
Jelas Apek, kekecohan tercetus selepas individu tersebut memperlekehkan filem 6 Jilake serta pengarahnya, Aziz M Osman.
“Betul, orang dalam gambar itu memang saya. Tetapi, keadaan sebenarnya bukanlah saya yang ditahan, tapi sebaliknya pihak polis sedang meleraikan salah faham. Tapi saya bukan bergaduh, memang ya nampak dalam gambar seperti bergaduh tapi tidak.
“Apa yang membuatkan saya terusik apabila dia sebut nama abang saya, Abang Aziz serta mendakwa filem tersebut adalah sampai. Kalau setakat sebut nama saya, saya masih boleh kawal tapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya kepada XTRA.
Apek ditemui di majlis rumah terbuka Terbaek Raya anjuran portal mStar di The Agam, Sungai Penchala, Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kejadian terbabit berlaku sewaktu Saiful menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain di Cheras, pada Isnin.
“Ketika kejadian saya hadir ke rumah terbuka Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin, tiba-tiba ada seorang individu yang tak dikenali membuat provokasi berkenaan filem itu sehingga saya hilang sabar.
“Saya pun bangun dan beredar kerana tidak menganggu majlis. Saya ingatkan habis di situ, tapi bila saya ke parkir kereta, individu masih melakukan provokasi sehingga datangnya pihak polis meleraikan pertelingkahan kami,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal hiburan melaporkan mengenai kehadiran seorang pelawak berpakaian baju Melayu merah jambu yang menyerupai Saiful Apek, didakwa ditahan dua anggota polis. Namun, lokasi dan punca sebenar kejadian tidak dapat dikenal pasti.
Mengulas lanjut, Apek memohon maaf kepada keluarga serta rakan-rakan yang mungkin terganggu dengan situasi ini.
“Saya harap semua orang jelas dengan kenyataan ini dan saya mohon semua bertenang terutamanya ahli keluarga dan sahabat terdekat yang terkejut mendengar apa yang berlaku.
“Cuma apa yang paling saya risau apabila ramai yang menghubungi ahli Senario terutamanya Azlee yang kita tahu mempunyai masalah jantung,” katanya.
Sebelum ini, tersebar sekeping foto yang dihantar oleh individu tidak dikenali, memaparkan seorang pelawak bersama seorang lagi lelaki dilihat bersama dua anggota polis di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Individu tersebut mendakwa pelawak terbabit ialah Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56.
Dalam gambar berkenaan, Saiful dan individu itu seolah-olah sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa.