anbia@hmetro.com.my
TIKA di bangku sekolah, menduduki tempat pertama, kedua atau ketiga dalam kelas dianggap kejayaan cukup gah.
Hati tambah berbunga sebaik nama diumumkan pada majlis penyampaian hadiah di dewan sekolah. Gemuruh suasana tatkala beratus pelajar dan guru bertepuk tangan sebaik pelajar cemerlang ini berdiri di pentas.
Penulis yang sekadar memperoleh kedudukan ke-27 berbanding 38 pelajar di dalam kelas hanya tersenyum kelat.
Ketika itu penulis menyedari betapa besarnya makna angka. Nombor atau kedudukan diperoleh umpama ‘kasta’ yang membezakan pelajar Gred A dan pelajar tidak rajin. Bukan tidak berusaha namun hanya setakat itu kemampuan IQ dimiliki.
Situasi sama boleh penulis kaitkan dengan ‘keputusan penilaian’ Malaysia yang berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Penulis tidak menganggap angka 57 ini sebagai gagal namun tarafnya mungkin sederhana atau jauh dibandingkan Denmark, Finland dan Singapura yang menduduki tempat pertama hingga ketiga. Tiga negara ini dilabel bersih atau sifar rasuah.
Transparency International (TI) pada 11 Februari 2025 memaklumkan Malaysia memperoleh skor 50 mata (atau 50 peratus) pada CPI berkenaan.
Penulis tertarik dengan kupasan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Tarmize Abdul Manaf yang kritis dalam menilai topik CPI dan angka 57 diperolehi.
Biarpun skor dan kedudukan ini tidak berubah berbanding tahun 2023, ia tidak bermakna Malaysia gagal membendung gejala rasuah secara mutlak.
Menurutnya, Malaysia jauh lebih bagus berbanding kedudukan negara Asean lain antaranya Vietnam di tangga ke-88, Indonesia (99), Thailand (107), Filipina (114), Laos (114), Kemboja (158), dan Myanmar (168).
Dalam kalangan negara Islam pula, Malaysia di kedudukan keenam iaitu di belakang Emiriah Arab Bersatu yang berada di kedudukan ke-23, Qatar (38), Saudi Arabia (38), Oman (50), dan Bahrain (53).
Malah, wajar dibanggakan apabila Malaysia berada di kedudukan kedua iaitu di belakang Singapura di kalangan negara Asean.
Biarpun begitu, kekecewaan tidak dapat dinafikan bagi yang mengikuti perkembangan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI saban tahun.
Angka 57 yang tidak berganjak berbanding 2023 seolah-olah menggambarkan pelbagai usaha agresif dilaksana kerajaan dan SPRM tidak membuahkan hasil.
Namun perlu dijelaskan kaedah pengukuran CPI berlandas isu rasuah semata-mata selain meletakkan tanggungjawab meningkatkan CPI di bahu SPRM adalah tanggapan salah masyarakat.
Ulas Mohamad Tarmize, skop kajian CPI adalah luas membabitkan isu rasuah dan tatakelola pentadbiran kerajaan.
Selain rasuah, CPI mengukur salah guna jawatan awam untuk kepentingan peribadi, penyelewengan dana awam, pelaksanaan inisiatif integriti, iltizam kerajaan dalam memerangi rasuah, kebebasan bersuara, akses kepada maklumat kerajaan, pendakwaan terhadap pegawai awam yang korup, birokrasi berlebihan, perundangan berkaitan pendedahan kewangan, dan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Sebaliknya CPI tidak mengambil kira masalah rasuah dalam sektor swasta, penipuan cukai, aliran wang haram, pembabitan enabler (individu atau badan profesional seperti setiausaha syarikat, peguam, dan akauntan) dalam rasuah, jenayah pengubahan wang haram, dan pasaran tidak sah.
Katanya, CPI bukan satu kajian khusus dilaksana TI. Sebaliknya CPI adalah indeks yang terhasil daripada gabungan beberapa kajian lain. Terdapat sembilan kajian menjadi sumber kepada CPI Malaysia.
Responden kepada kajian itu bukan rakyat biasa atau orang awam, tetapi terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang dan eksekutif perniagaan.
Walaupun kedudukan Malaysia tidak berubah, ada perkembangan positif berdasarkan enam kajian yang menunjukkan peningkatan skor antara satu hingga empat mata.
Sekiranya diteliti prestasi sembilan kajian diambil kira dalam CPI Malaysia 2024, sebenarnya ada petanda baik kepada usaha dilaksanakan.
Tambahan pula, CPI mempunyai tempoh ‘ketinggalan’ (lagging) sehingga dua tahun. Bermakna, CPI 2024 adalah cerminan kejadian sekitar tahun 2022 dan 2023.
Sekitar tahun itu, banyak kes berprofil tinggi menjadi perhatian umum, sama ada dalam siasatan SPRM, dipertuduh di mahkamah, sedang dibicarakan atau keputusan kes oleh mahkamah.
Semua ini berkemungkinan besar mencetuskan persepsi negatif masyarakat, termasuk komuniti peniaga terhadap isu rasuah dan masalah integriti dalam perkhidmatan awam.
Antaranya, pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa; perbicaraan kes 1MDB yang menjadi simbol ketirisan dana awam; pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kerana tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta dan sabitan mahkamah terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain itu, beberapa kejayaan SPRM membongkar kes bersindiket mendapat liputan luas media seperti kes penyelewengan peruntukan Program Insentif Pengambilan Pekerja & Program Latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang membawa kepada penangkapan 71 individu dan tangkapan terhadap 28 individu yang terbabit rasuah di kawasan perairan negara (Ops Tunda).
Penulis yakin, Malaysia mampu mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI menjelang 2033 jika semua pihak menggembleng usaha memerangi rasuah.
Penulis Pengarang Berita Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd