Orang ramai khususnya ibu bapa semakin bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah berasrama ekoran beberapa kejadian buli yang berlaku baru-baru ini.
Isu ini semakin mendapat perhatian selepas kematian seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan kejadian buli di sebuah sekolah berasrama di Papar, Sabah.
Wartawan, FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), PROF MADYA DR SITI SALINA MUSTAKIM mengenai isu berkenaan.
Apakah faktor utama yang menyebabkan ibu bapa kini mula gusar dan hilang keyakinan terhadap sekolah berasrama?
Saya sendiri seorang ibu dengan anak-anak lepasan sekolah asrama penuh.
Dari sudut akademik, persepsi keselamatan adalah perkara asas dalam keyakinan ibu bapa. Kes buli yang mendapat perhatian media menimbulkan rasa takut, seolah-olah ia berlaku di semua sekolah asrama.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, majoriti sekolah asrama di Malaysia mengamalkan disiplin yang ketat, budaya saling hormat, dan kawalan keselamatan yang baik.
Kes buli yang tular adalah terpencil dan bukan gambaran keseluruhan sistem, jadi kita tidak boleh menafikan kebaikan besar pendidikan berasrama hanya kerana segelintir kes.
Adakah perlu aspek pengawasan dan kawalan di semua asrama sekolah di negara ini dikaji semula serta ditambah baik?
Ya, perlu diperkukuh kerana pengawasan fizikal seperti pemasangan CCTV di lokasi strategik adalah penting sebagai pencegahan dan bukti, tetapi ia mesti disertakan dengan pengawasan berasaskan nilai.
Warden perlu dilatih bukan sahaja untuk memantau, tetapi juga untuk membina hubungan rapat dengan pelajar supaya mereka berasa lebih selamat untuk melaporkan sebarang masalah.
Pendidikan berasrama yang berkesan bukan sekadar mengawal pergerakan pelajar, tetapi juga membentuk komuniti yang saling menjaga.
Apakah hukuman sedia ada tidak mencukupi untuk mengatasi gejala buli yang berlaku di sekolah pada hari ini?
Hukuman yang sedia ada sebenarnya memadai jika dilaksanakan dengan tegas dan konsisten.
Tetapi, kita juga perlu melihat aspek pencegahan dan pemulihan kerana hukuman sahaja tidak cukup jika tidak diiringi dengan program pendidikan karakter, kaunseling, dan kesedaran empati.
Sekolah asrama mempunyai potensi unik untuk membentuk pelajar menjadi pemimpin yang beretika kerana mereka hidup dalam komuniti yang terurus 24 jam sehari.
Apakah perlu jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani isu ini?
Saya sokong kerana akta antibuli akan memberikan perlindungan undang-undang yang lebih jelas kepada mangsa, manakala jawatankuasa khas boleh menyelaras usaha dari pelbagai pihak.
Walau bagaimanapun, saya percaya penguatkuasaan dan budaya sekolah yang positif adalah kunci utama.
Akta akan berkesan jika pelaksanaan di peringkat sekolah benar-benar memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Apa tindakan yang perlu segera dilakukan oleh ibu bapa sekiranya anak mereka mengadu dibuli?
Sebagai ibu, perkara pertama adalah mendengar dengan empati dan jangan memarahi atau menyalahkan anak kerana melapor.
Catatkan segala butiran, laporkan kepada pihak sekolah dan jika perlu, buat laporan polis.
Sekolah pula mesti bertindak segera untuk melindungi mangsa, memastikan tiada buli berulang, dan menyediakan sokongan emosi melalui kaunseling.
© New Straits Times Press (M) Bhd