Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menggesa polis memberi tumpuan terhadap dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, dan bukannya kepada proses penerbitan laporan Bloomberg.
Beliau berkata, siasatan polis perlu menumpukan kepada inti pati dakwaan yang dibangkitkan, selaras prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Saya juga minta supaya siasatan oleh PDRM seperti diumum fokus kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg, bukan siasat penerbitan laporan tersebut.
“Maksudnya mudah. Kalau ada dakwaan, siasat dakwaan bukan tumpu kepada proses penerbitannya. Kita nak dan rakyat nak intipati dakwaan yang disiasat, bukan hanya siasat bagaimana laporan diterbitkan,” katanya dalam video di TikTok.

Nurul Izzah gesa polis fokus siasatan dakwaan
Nurul Izzah menekankan pendekatan itu penting bagi memastikan keyakinan awam terhadap institusi penguat kuasa dan badan pencegahan rasuah terus terpelihara.
“‘You don’t want to shoot the messenger’. Kita mahu SPRM dan semua agensi dalam negara benar-benar menjadi benteng pertahanan kita semua,” tambahnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, pada 14 Feb lalu berkata polis membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Kabinet turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar, dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas diberi ruang menyiasat dakwaan itu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Artikel lain: “Saya tidak perlu bercuti…”- Azam Baki tegas sedia disiasat, tiada apa hendak disembunyikan
Perkara itu dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Azam dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan serta harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi.
Beliau juga memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.
Sumber: TikTok Nurul Izzah Anwar




