Bukan jalan pintas jadi kaya

Bukan jalan pintas jadi kaya

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemasaran affiliate bukan sekadar trend sementara di media sosial, sebaliknya ia berpotensi untuk dijadikan kerjaya jangka panjang jika dimanfaatkan secara strategik, beretika dan berteraskan ilmu.

Koordinator Program Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Digital, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor, Dr Mazida Ismail berkata, ramai golongan muda kini semakin terbuka terhadap peluang kerjaya dalam ekonomi digital, termasuk sebagai pemasar affiliate.

“Pemasaran affiliate mampu menjadi kerjaya yang serius jika dilakukan secara konsisten dan dirancang dengan teliti. Ia bukan sekadar berkongsi pautan produk, sebaliknya memerlukan strategi, pemahaman tingkah laku pengguna serta kemahiran membina kandungan yang dipercayai.

“Landskap digital dan pelbagai platform e-dagang yang lain menawarkan peluang luas kepada sesiapa sahaja untuk menjana pendapatan walaupun tanpa modal yang besar.

“Namun, untuk kekal bertahan dalam industri ini, seseorang perlu tahu cara membina jenama peribadi (personal branding) yang kukuh dan berkomunikasi secara jujur dengan khalayak. Kepercayaan pengguna ialah kunci utama kejayaan dalam pemasaran affiliate,” katanya.

Mazida berkata, pemasar affiliate yang bijak tidak hanya fokus kepada jualan, sebaliknya mampu menjadi sumber maklumat yang diyakini serta berupaya mempengaruhi keputusan pembelian pengguna secara berhemah.

Menurutnya, salah satu kesilapan yang sering berlaku adalah apabila seseorang individu terlalu mengejar komisen tanpa memahami produk atau keperluan pasaran sasaran.

“Pemasaran affiliate bukanlah jalan pintas untuk menjadi kaya. Ia memerlukan ilmu pemasaran digital, pemahaman data dan analitik serta keupayaan untuk mencipta nilai tambah kepada pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Mazida berkata, situasi itu menunjukkan adanya keperluan untuk institusi pendidikan tinggi menyediakan latihan dan pendedahan lebih awal kepada pelajar berkaitan realiti pemasaran digital semasa.

“Bukan semua graduan akan bekerja makan gaji. Ada yang mampu membina kerjaya sendiri dalam ekonomi digital jika dibimbing dengan betul sejak di bangku universiti lagi,” katanya.

Mazida turut menekankan bahawa bidang itu mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekiranya dimanfaatkan secara beretika dan berasaskan ilmu.

“Pemasaran affiliate bukan sekadar trend yang meletup hari ini dan hilang esok. Dengan pendekatan yang betul, ia mampu menjadi kerjaya mapan yang memberikan impak besar kepada individu dan komuniti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top