Bukan kapal perang tapi Pengawal Pantai China – Adly

Bukan kapal perang tapi Pengawal Pantai China – Adly

mahaizura@mediapeima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan menegaskan, kehadiran aset maritim China di perairan Laut China Selatan, bukan kapal perang, namun lebih kepada pasukan Pengawal Pantai China. Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, situasi keselamatan di Laut China Selatan masih selamat dan terkawal.

“Situasi keselamatan di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal, perairan kekal bebas dan terbuka kepada komuniti maritim.

“Kehadiran aset maritim China di Laut China Selatan lebih kepada pasukan Pengawal Pantai China dan bukannya kapal perang Tentera Laut China.

“Perkara ini selaras dengan pendekatan grey zone strategy yang sedang dilaksanakan China di Laut China Selatan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakanDatuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sejauh mana keselamatan perairan Laut China Selatan terjamin susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di zon ekonomi ekslusif (EZZ) di wilayah maritim Sarawak.

Mengulas lanjut, Adly berkata, walaupun kehadiran kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti yang berlaku di negara lain termasuk Filipina dan Vietnam.

“Sungguh pun begitu, Kementerian Pertahanan tetap komited melaksanakan amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiapsigaan asset berada dalam tahap optimum dalam hadapi sebarang bentuk ancaman di perairan maritim negara khususnya Laut China Selatan,” katanya.

Katanya, tiga teras penting diberikan keutamaan di Laut China Selatan ialah kesiap siagaan serta pemodenan aset Malaysia selain memperkukuhkan hubungan dengan negara serantau. “Proses penting kita berdepan Laut China Selatan ialah kita harus melihat bagaimana kita pertingkatkan pemodenan aset ini.

“Kedua tentang operasi kita. Kita tidak nafikan soal kehadiran kita, jadi operasi sentiasa kita tingkatkan dari semasa ke semasa.

“Ketiga, memperkukuhkan diplokasi pertahanan kita menyebut melalui Persidangan Menteri Pertahanan Asean (ADMM), kita cuba perkukuhkan kerjasama Asean supaya Laut China Selatan bukan terkait dengan Malaysia, Filipina dan seumpamanya, tetapi keseluruhan negara Asean terkait,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi Asean 2025 untuk menyelesaikan isu berbangkit termasuk aspek keselamatan Laut China Selatan.

“Selaku Pengerusi Asean, kita akan manfatkan untuk selasaikan isu berbangkit termasuk disebut Perdana Menteri bagaimana kita manfaatkan Unclos (Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982).

“Yang penting bagi kita di Laut China Selatna, proses bagaimana kita teruskan ekonomi kita, selamat bagi nelayan kita, perdagangan laut itu menjadi satu kawasan untuk keseluruhan aktiviti ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top