Bukan kontraktor tetapi kakitangan teknikal TNB

Bukan kontraktor tetapi kakitangan teknikal TNB

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua individu yang cedera ketika kerja-kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau di sini, adalah kakitangan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jurucakap TNB berkata, pihaknya berdukacita atas kecederaan dua kakitangan itu susulan kebakaran di PMU terbabit.

Menurutnya, kedua-dua kakitangan berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap itu berkata, pihak pengurusan TNB menghubungi keluarga masing-masing untuk memaklumkan berkaitan kejadian itu.

“TNB akan memastikan mereka serta keluarga masing-masing mendapat sokongan sewajarnya.

“Ingatan dan doa kami bersama mereka dan keluarga, dengan harapan agar kedua-duanya diberikan kesembuhan segera,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, media melaporkan dua pekerja kontraktor TNB cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan di PMU Kangkar Tebrau yang terbakar, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Fadzil Yahya berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memberi rawatan awal kepada kedua-dua pekerja terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top