am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi peringatan tegas kepada orang ramai supaya memanfaatkan kemudahan taman awam secara berhemah, susulan tular video sekumpulan individu menunggang motosikal di trek joging Taman Awam Teluk Likas.
DBKK dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengunjung lain, malah melanggar peraturan yang melarang penggunaan motosikal atau sebarang kenderaan di trek joging dan berbasikal.
“Taman awam sering menjadi kawasan tumpuan warga bandar raya Kota Kinabalu sebagai lokasi riadah untuk semua lapisan masyarakat.
“Oleh itu, atas dasar keprihatinan antara satu dengan yang lain, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menggunakan kemudahan trek yang disediakan secara berhemah,” katanya.
DBKK berkata, papan tanda peraturan taman ada diletakkan di sepanjang Taman Awam Teluk Likas yang berfungsi sebagai panduan kepada pengunjung di taman berkenaan.
“Sehubungan itu, pengunjung diingatkan untuk sentiasa peka dan patuh kepada peraturan taman yang ditetapkan.
“Sikap tidak mematuhi peraturan boleh merosakkan kemudahan awam serta mengundang risiko kemalangan kepada orang lain,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan individu menunggang motosikal di trek joging Taman Awam Teluk Likas hingga mencetuskan kecaman warganet.
© New Straits Times Press (M) Bhd




