Bukan mendedahkan sesiapa, saya cuma berikan kesedaran – Kaka Azraff

Bukan mendedahkan sesiapa, saya cuma berikan kesedaran – Kaka Azraff

KUALA LUMPUR:  Penyanyi, Kaka Azraff tampil menjelaskan bahawa perkongsian yang dimuat naik di media sosialnya baru-baru ini bukan ditujukan kepada mana-mana individu tertentu, sebaliknya lahir daripada pemerhatian dan pengalaman peribadi yang dilalui.

Menurut Kaka,dia menyedari terdapat sebahagian daripada kata-katanya yang telah dikongsi secara meluas, sekali gus menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen.

“Saya nampak sebahagian daripada kata-kata saya sedang dikongsi. Apa yang saya kongsikan di Threads ini bukan ditujukan kepada sesiapa secara khusus.

“ Ia lahir daripada pemerhatian, pengalaman serta corak yang wujud dalam pelbagai situasi, sama ada dalam hubungan, tempat kerja atau keluarga.

“Jika ada yang merasakan apa yang saya tulis itu dekat dengan diri mereka, mungkin kerana ini adalah realiti yang sedang dilalui oleh ramai orang,” katanya di Threads.

Tambah penyanyi lagu Bully itu, kesedaran terhadap sesuatu situasi amat penting agar seseorang individu mampu memahami dan menangani keadaan dengan lebih baik.

“Bagi saya, kesedaran itu penting supaya kita dapat mengenal pasti, mengakui apa yang berlaku, dan belajar bagaimana untuk menghadapi situasi seperti ini dengan lebih baik. Ini juga bukan tentang melabel sesiapa sebagai buruk.

“Kadangkala, melalui kesedaran, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah mungkin membantu orang lain untuk sedar dan berubah. Niat saya hanyalah untuk berkongsi dan membuka ruang kesedaran, bukan untuk menuding jari,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kaka turut menjelaskan bahawa perkongsiannya kebelakangan ini banyak menyentuh isu pemulihan diri, manipulasi dan sempadan emosi, yang menurutnya sangat berkait rapat dengan perjalanan hidup sebagai seorang individu dan juga artis.

“Sejak kebelakangan ini, saya banyak berkongsi tentang proses pemulihan diri, manipulasi dan sempadan emosi. Segala yang saya tulis datang daripada pengalaman serta perjalanan saya sebagai seorang manusia dan juga sebagai seorang artis.

“Ia bukan tentang mendedahkan sesiapa, tetapi tentang kesedaran. Jika ada yang dapat mengaitkan diri, itu kerana situasi seperti ini lebih biasa berlaku daripada yang kita sangkakan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai karya terbaharunya, Kaka menegaskan bahawa penghasilan lagu Bully juga berteraskan mesej yang sama.

“Inilah sebabnya saya menghasilkan ‘Bully’,  bukan untuk menyerang, tetapi untuk memberi suara kepada mereka yang berasa tidak didengari, keliru, atau keletihan emosi. Ambil apa yang memberi makna, dan tinggalkan apa yang tidak,” katanya lagi.

Scroll to Top