'Bukan mudah mansuh tol' – Menteri

'Bukan mudah mansuh tol' – Menteri

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berpandangan bukan mudah untuk memansuhkan tol seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya tol dimansuhkan, kerajaan perlu mencari dana yang besar bagi kerja penyelenggaraan.

“Untuk tujuan ini memerlukan dana yang besar (dan) berbilion ringgit.

“Kita boleh bayangkan dana kerajaan ini mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain (seperti) di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto mereka sebelum ini untuk menghapuskan tol.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, tol di negara ini tidak perlu dimansuhkan, namun sekiranya syarikat konsesi lebuh raya sudaah mencapai keuntungan atau pulangan pelaburan (ROI), satu langkah untuk menurunkan kadarnya boleh dilaksanakan.

“Kalau syarikat ini sudah mencapai keuntungan atau pulangan pelaburan (ROI) mereka, bolehlah.

“Masa itu nanti, kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang, diturunkan. Itu lebih praktikal dan realistik.

“Mungkin kita tak perlu mansuhkan (tol) demi kebaikan seluruh negara termasuk di Terengganu, Sabah dan Sarawak yang ramai tak gunakan lebuh raya ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top