najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Amy Search berpendapat istilah ‘killer song’ adalah sesuatu yang bersifat subjektif.
Menurut Amy, sukar untuk meramal lagu mana yang akan menjadi popular kerana ia bergantung kepada rezeki.
“Ada ketikanya kita boleh menjangka lagu mana yang bakal popular, tetapi ada juga masanya sukar untuk diramalkan. Jadi, ia sebenarnya sangat subjektif.
“Kadang-kadang lagu pertama menjadi fenomena, tetapi lagu seterusnya belum tentu. Keadaan itu mungkin menimbulkan risiko kepada mereka.
“Bagi penyanyi baharu, mereka memerlukan ‘killer song’ kerana lagu popular inilah yang akan memperkenalkan mereka di dunia seni,” katanya ketika ditemui pada sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Amy turut menasihati penyanyi baharu agar meneroka genre yang sesuai dengan diri mereka dan berani bereksperimen, walaupun mengakui proses itu boleh memberi tekanan.
“Mereka perlu memahami bahan yang sesuai dengan karya mereka untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.
“Banyakkan mendengar dan lakukan kajian sehingga berjaya menemui genre utama yang sesuai. Jangan terlalu terikut-ikut dengan pendapat orang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




