Cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Ally Mukhriz tampil memberi penjelasan susulan isu perbandingan busana perkahwinannya dengan pelakon, Ezlisa Loy yang tular baru-baru ini.
Menerusi ruangan komen di hantaran media sosial miliknya, Ally, 28, berkata dia sama sekali tidak menyangka hantaran mengimbas momen bahagianya lima tahun lalu akan mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial.
“Saya langsung tak ‘bitter’.. Memang betul, saya ditag dan menerima hantaran yang membandingkan busana tersebut, tetapi saya tak sangka ia akan jadi sebesar ini,” katanya.
Menurut Ally, niat asal perkongsiannya hanyalah untuk mengimbau kenangan hari perkahwinan dan bukan untuk menimbulkan sebarang isu perbandingan dengan mana-mana pihak.
“Hantaran itu bukan bertujuan untuk bertanya siapa lebih cantik. Kedua-dua pereka busana jelas mengambil inspirasi daripada sumber rujukan yang serupa dan menghasilkan rekaan yang kami gemari.
“Saya sekadar mengenang kembali detik indah saya, itu saja,” katanya.
Dalam pada itu, Ally turut menitipkan doa buat Ezlisa agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan diberkati.
“Saya doakan Ezlisa terus bahagia dalam fasa baru kehidupannya. Songket biru itu memang klasik dan tak lapuk dek zaman,” tulisnya lagi.

Terdahulu, busana perkahwinan kedua-dua figura itu menjadi perhatian selepas netizen mendakwa persamaan pada pilihan warna iaitu biru muda dan merah jambu.
Untuk rekod, busana songket yang digayakan Ezlisa direka oleh pereka fesyen terkenal, Sam Republic yang diisnpirasi daripada rekaan pereka antarabangsa berasal dari Filipina, Michael Cinco, manakala rekaan Ally pula merupakan hasil sentuhan Fizi Woo.



