Berlin: Burung merpati batu tidak bergantung pada naluri semata-mata untuk kembali ke sarang, sebaliknya satu organ berhampiran iaitu hati mungkin menjadi penunjuk arah.
Memetik Science News, sel darah putih dalam hati burung itu mengumpul besi dan bertindak sebagai kompas dalaman apabila awan menghalang matahari yang biasanya membantu navigasi, menurut kajian dalam jurnal Science pada 28 Mei lalu.
Saintis secara umum bersetuju bahawa haiwan tertentu menggunakan medan magnet bumi untuk migrasi, namun mekanisme sebenar masih belum dipastikan.
Selama beberapa dekad, saintis berdebat mengenai cara burung mengesan serta menggunakan medan magnet untuk navigasi.
Satu teori utama menyatakan protein dalam mata burung bertindak balas terhadap medan magnet melalui sesuatu yang dipanggil ‘kesan kuantum’.
Namun, tiada bukti jelas berjaya mengesahkan mekanisme itu.
Dalam pada itu, haiwan seperti kelawar dan ikan jerung juga menggunakan medan magnet tetapi tidak mempunyai protein berkenaan, menjadikan teori itu masih diperdebatkan.
Idea baharu itu tercetus lebih 10 tahun lalu apabila dua penyelidik bertemu di sebuah persidangan di Jerman.
Ornitolog Martin Wikelski dari Institut Tingkah Laku Haiwan Max Planck di Radolfzell, Jerman, dan ahli imunologi
Universiti Bonn di Jerman, Christian Kurts menyedari, sel makrofaj dalam limpa tikus melekat pada alat magnet ketika menjalankan eksperimen.
Ia berlaku kerana sel itu mengumpul dan mengitar semula besi daripada sel darah merah yang rosak, yang boleh tersusun dalam medan magnet.
Wikelski pula berpendapat, fenomena itu mungkin menjelaskan bagaimana burung mengesan medan magnet.
Penyelidik kemudian mengkaji burung merpati batu dan mendapati hanya makrofaj dalam hati yang menunjukkan sifat magnetik.
Sel itu juga ditemukan dalam jumlah besar berhampiran rangkaian saraf hati, dipercayai memberi isyarat arah kepada otak burung itu berdasarkan medan magnet bumi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




