safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pasangan kekasih yang memuat naik di media sosial kes mereka dikompaun RM10,000 yang sedang makan dan minum di Cheras, semalam, di media sosial sudah dipanggil bagi membantu siasatan di Bukit Aman hari ini.
Pasangan terbabit dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, petang tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata berdasarkan siasatan awal pasangan itu dikenakan kompaun oleh sepasukan pegawai penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan.
“Pasangan berkenaan dikesan memuat naik kenyataan mereka dikompaun sedang makan dan minum selain kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal.
“Hasil siasatan yang dibuat mendapati bukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengeluarkan kompaun berkenaan sebaliknya satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau berkata pada masa ini pihak polis sudah merakam percakapan ke atas kedua-dua pasangan terbabit bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan meneliti kes berkenaan selain merujuk dakwaan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang berperanan sepenuhnya atas kompaun yang dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu pasangan itu memuat naik situasi kejadian yang berlaku di mana mereka mendakwa masih memakai pelitup muka semasa membuat pesanan pada jam 11.14 pagi, kemudian menanggalkan pelitup muka sebaik minuman mereka dihidangkan pada jam 11.16 pagi.
Pada jam 11.37 pagi, mereka didatangi sekumpulan 10 pegawai semasa makanan dan minuman berada di atas meja sebelum pegawai terbabit mengarahkan mereka mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan kompaun.
Pada masa ini usaha BH untuk mendapatkan maklum balas dari agensi penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun terhadap pasangan itu masih gagal.
© New Straits Times Press (M) Bhd