BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui tidak berada pada tahap prestasi sebenar ketika tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, malam Rabu.
Pasangan nombor tiga dunia itu turut mengakui sedikit keletihan, namun menegaskan ia bukanlah alasan utama kekalahan mereka di tangan gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Wooi Yik berkata, mereka turun ke gelanggang dengan misi untuk meraih kemenangan dan berusaha sedaya upaya, walaupun berdepan masa rehat yang singkat selepas mengharungi tiga perlawanan akhir berturut-turut sebelum ini.
“Secara jujur, saya rasa keadaan fizikal tidak begitu baik, tetapi kami tetap mencuba dari segi mental. Kami tidak menyerah dan berusaha mendapatkan setiap mata.
“Namun, inilah realiti permainan. Saya juga tidak menafikan bahawa mereka bermain lebih baik dari segi fizikal dan tampak lebih segar berbanding kami. Jangan risau, kami akan bangkit semula untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Impian pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu untuk meraih gelaran ketiga dalam empat kejohanan terakhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Kjaer-Sogaard dengan keputusan 13-21, 21-19, 18-21 di Istora Senayan, Jakarta.
Mengulas kemungkinan kekerapan pertemuan menjadi faktor pasangan Denmark itu dapat membaca corak permainan mereka, Wooi Yik menjelaskan kekalahan berpunca daripada prestasi permainan yang kurang memuaskan dalam perlawanan tersebut.
Sementara itu, Aaron mengakui beberapa kesilapan mudah pada set ketiga memberi ruang kepada Kjaer-Sogaard untuk kembali menguasai permainan di penghujung perlawanan.
“Saya rasa itulah faktor utama kekalahan kami. Anda boleh lihat semasa set penentuan, kami mendahului beberapa mata, tetapi selepas rehat, mereka mula mengejar dan akhirnya menang.
“Kami sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini, namun kali ini bukan rezeki kami untuk mara ke pusingan seterusnya,” ujar Aaron.
Sebagai rekod, juara dunia 2022 itu sebelum ini memenangi Kejohanan Badminton Asia pada pertengahan April, menjuarai Terbuka Thailand pada 18 Mei, serta meraih gelaran Terbuka Singapura pada 1 Jun.