georgie@hmetro.com.my
ANNYEONGHASEYO! Penyanyi rap, Jessi tampil di Balai Polis Gangnam, Seoul baru-baru ini bagi memberi keterangannya berhubung tuduhan dia terbabit dalam kes mengasari peminat bulan lalu.
Penyanyi Zoom itu memberitahu dia tidak mengenali individu yang dikaitkan dengannya itu. Malah, sewaktu kejadian dia masih tertanya-tanya siapakah individu terbabit.
“Itu adalah kali pertama saya berjumpa dengannya,” katanya yang turut berharap individu itu akan ditahan dan dihukum.
Menurut polis, insiden itu berlaku pada awal pagi 29 September lalu di Apgujeong-dong, daerah Gangnam. Ia tercetus selepas ada seorang peminat bawah umur ingin bergambar dengan Jessi.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila seorang lelaki yang didakwa kenalan Jessi mengasari peminat berkenaan. Jessi dikatakan cuba meleraikan ketegangan itu sebelum beredar.
Sewaktu polis tiba ke tempat kejadian, rakan sekumpulan yang bersama Jessi kemudian disoal. Mereka mengatakan tidak mengenali penyerang itu.
Wakil penyanyi terbabit memaklumkan lelaki itu adalah warganegara China. Dia turut menafikan Jessi dan seorang lagi rakan mereka iaitu penerbit muzik, Koala terbabit dalam insiden itu.
Dia cuma tahu penyerang berkenaan adalah kawan kepada penerbit muzik itu.
Mangsa yang dikasari itu bagaimanapun turut menyebut Jessi dan Koala dalam laporan dibuatnya. Malah Jessi dituduh membantu penyerang itu melarikan diri.
Koala pula sudah disoal siasat selaku suspek pada 11 Oktober lalu. Dia dituduh menolak perut dan mengugut peminat terbabit depan muka.
Penerbit itu pernah terbabit dalam penghasilan beberapa album Jessi iaitu What Type of X, Cold Blooded, dan NUNU NANA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




