nurul.hidayah@hmetro.com.my
Putrajaya: Kemerdekaan dikecapi ketika ini memperlihatkan perkembangan Malaysia yang semakin bergerak pantas selari dengan negara maju.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kemerdekaan adalah asas tunjang pembangunan negara ke arah lebih baik pada masa akan datang.
“Menyentuh mengenai kemerdekaan, ia adalah istilah yang besar buat rakyat Malaysia kerana bukan sahaja membawa maksud bebas daripada penjajah malah merdeka dalam pelbagai bentuk.
“Ini termasuk pemikiran, pembangunan, pemodenan serta elemen-elemen lain yang membentuk modal insan negara setara dengan negara maju,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Aedy berkata, kemerdekaan dikecapi sejak 1957 adalah satu rahmat yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sepatutnya sudah bersedia untuk berubah menjadi lebih matang dan konsisten dalam memacu negara ini.
“Pemikiran yang matang ini termasuk mematuhi peraturan serta undang-undang negara. Dalam konteks JPJ, semestinya saya mahu rakyat Malaysia sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Ini kerana pematuhan undang-undang mampu mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut yang direkodkan di negara ini,” katanya.
Menurutnya, secara peribadi, beliau bersyukur tinggal dan menjadi anak Malaysia yang berada dalam keadaan aman dan makmur.
“Malah penduduk negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum juga hidup dalam keadaan aman tanpa ada persengketaan.
“Rakyat yang tinggal di Malaysia adalah selamat kerana tiada isu terlalu besar sehingga menggugat keharmonian serta kestabilan negara,” katanya.
Menurutnya, beliau berbangga menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai komuniti bersatu padu meskipun berbeza kaum dan agama.
“Besar harapan saya supaya rakyat Malaysia terus hidup aman dan damai tanpa bertelagah antara satu sama lain.
“Bersama-samalah kita sentiasa menjaga keamanan negara ini bagi mengelak diganggu anasir yang mahu menjatuhkan keharmonian Malaysia,” katanya.
Aedy turut menyeru supaya rakyat Malaysia sentiasa teguh bersama kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk membangunkan negara menjadi lebih maju.
“Sematkan jiwa merdeka, cinta akan tanah air dengan semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia.
“Semangat kebersamaan untuk kemakmuran dan kemajuan negara adalah penting demi kebanggaan generasi pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




