mohamadridzuan@hmetro.com.my
PEMINAT filem Tamil tempatan kebiasaannya disajikan dengan genre popular seperti cinta dan sebagainya.
Bagaimanapun, filem Vijay LLB The Advocate tampil membawa pendekatan segar dan berbeza daripada karya Tamil tempatan lain.
Filem arahan M Mathialagan ini memaparkan jalan cerita yang luar biasa untuk tontonan orang ramai.
Walaupun judulnya memberi gambaran mengenai dunia perundangan, filem lakonan Uthaya yang membawakan watak Vijay ini menjanjikan lebih dari sekadar naratif peguam.
Uthaya yang juga penerbitnya berkata, filem yang diadaptasi daripada kisah sebenar sebuah novel dan disesuaikan dengan sentuhan elemen tempatan ini membawa mesej yang tentunya akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Plot cerita bermula dengan kisah pembunuhan seorang pelajar kolej dan susulan kejadian itu seorang pensyarah bernama Venthan dikaitkan dengan kejadian itu.
“Sebagai filem Tamil tempatan pertama yang membongkar kisah di sebalik tabir mahkamah, ia menggabungkan elemen drama dan thriller yang luar biasa.
“Ia bukan saja mempersembahkan ‘pergolakan’ dalam mahkamah ke layar perak, tapi juga membawa perspektif realiti kehidupan yang jarang-jarang dibicarakan,” katanya.
Walaupun bukti dan keterangan saksi di mahkamah menunjukkan Venthan sebagai pembunuh, namun ia tidak meyakinkan Vijay untuk membuat tuduhan melulu.
Terpanggil untuk merungkai kebenaran di sebalik pembunuhan itu, Vijay merasakan dia mempunyai tanggungjawab disebabkan Venthan adalah sahabatnya sejak kanak-kanak, walaupun mereka sudah lama tidak berhubung.
“Filem ini bukan saja mempunyai plot yang menarik tapi juga menyelitkan beberapa mesej penting untuk direnungkan penonton.
“Saya memberi jaminan Vijay LLB ini bukan saja menimbulkan rasa dramatik tetapi juga akan membuatkan penonton berdebar-debar untuk mengetahui apa yang bakal berlaku dalam setiap babak seterusnya.
“Deretan plot yang suspen dalam filem ini pasti akan membuatkan penonton yang berada di pawagam tidak ‘senang’ duduk,” katanya.
Menurutnya, wajah-wajah baru juga ditampilkan dalam Vijay LLB The Advocate sebagai cara memberi peluang kepada mereka untuk mempamerkan bakat yang ada.
“Lebih menarik lagi, kumpulan orkestra berprestij dari Hungary, Budapest Philharmonic turut mempamerkan muzik yang memukau dalam filem ini.
“Saya percaya filem berdurasi dua jam lima minit ini akan mencetus fenomena dalam landskap perfileman tempatan, terutamanya dengan gabungan komposer muzik terkenal dari India, GV Prakash Kumar.
“Kami juga tampilkan kelainan apabila mengadakan Gala Premiere Show pada 28 Julai lalu membabitkan 1,111 penonton yang diberi peluang menonton filem itu lebih awal dari tarikh tayangan sebenar yang bermula semalam.
“Respon yang diberikan mereka sangat positif dan menggalakkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd