Bukan sekadar hiburan, tetapi sentuh emosi

Bukan sekadar hiburan, tetapi sentuh emosi

am@hmetro.com.my

Dalam usaha menyemarakkan Hari Pelancongan Sedunia dan Tahun Melawat Melaka (TMM 2026), Perbadanan Melaka (MCORP) bakal mementaskan teater Puteri Santubong Sejinjang The Musical Fantasies Satu Manifestasi pada 1 November ini.

Pementasan secara eksklusif diadakan di Panggung Bangsawan Melaka berkenaan antara pendekatan untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara.

Penerbit teater terbabit, Ahmad Saufi Jaafar atau Ahmad Albab, berkata pihaknya menerbitkan pementasan sinonim dengan masyarakat Sarawak dalam usaha mendekati warga Melaka mahupun pelancong berkaitan kisah rakyat dari Borneo berkenaan.

Menurutnya, teater terbabit menampilkan naratif berbeza berbanding penceritaan kisah legenda itu sebelum ini.

Katanya, apa yang menarik, teater muzikal ini bakal menampilkan muzik moden, tarian kontemporari dan elemen multimedia yang menjanjikan kelainan.”Pemilihan teater Puteri Santubong Sejinjang sudah dirancang sejak setahun lalu bertujuan menonjolkan sebuah cerita rakyat yang dekat di hati masyarakat Sarawak, biarpun pementasan bukan diadakan di negeri itu.

“Biarpun kisahnya agak berat, namun gaya penceritaan dan muzik disusun secara santai dengan menyelitkan elemen kontemporari.

“Kami mengembangkan elemen pengkisahannya iaitu jalan cerita berkisar mengenai sumpahan dan konflik yang menjurus kepada klimaks sumpahan itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Puteri Santubong Sejinjang The Musical Fantasies di Panggung Bangsawan Jalan Hang Tuah di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar MCORP Corporate Services (MCS) Sdn Bhd, Datin Sukhirah Ibrahim.

Sementara itu, pengarah teater ,Mohd Zaim Majid atau Eri Majid berkata, pementasan karya berkenaan bukan sekadar menampilkan kelainan, tetapi turut membawa mesej berbentuk pengajaran sekali gus mendidik sekali gus boleh diteladani penonton di semua peringkat usia.

Menurutnya, kisah Puteri Santubong Sejinjang amat popular di negara ini terutamanya di Sarawak, maka pihaknya mengambil tanggungjawab memberikan didikan kepada masyarakat.

“Teater ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya perjalanan emosi dan intelektual yang membawa penonton menyelami keindahan legenda Santubong dan Sejinjang dengan gaya pementasan moden,” katanya.

Antara bintang utama teater ini ialah Muhammad Azhar Mad Yatim yang memegang watak Putera Serapi, Nurul Umi Nekmat (Puteri Santubong), Puteri Nur Zahirah Azhar (Puteri Sejinjang) dan Farid Ariffin (Ahli Sihir).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top