razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerjaya sebagai jururawat peribadi semakin mendapat perhatian masyarakat apabila ramai keluarga kini memilih mendapatkan penjagaan pesakit secara khusus di rumah.
Salah seorang daripadanya adalah Nurul Ain Abdul Fatah, 28, yang aktif berkongsi berkenaan pekerjaannya di media sosial sehingga mendapat maklum balas positif dalam kalangan warga net.
Bagi Nurul Ain, tugasnya sebagai jururawat peribadi bukan sekadar menjaga kesihatan pesakit, tetapi turut menjadi individu yang memberi sokongan emosi kepada keluarga ketika berdepan saat sukar.
Graduan Diploma Kejururawatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian itu berkata, dia mula bekerja sebagai jururawat peribadi sejak 2023 selepas melihat keperluan tinggi terhadap penjagaan pesakit di rumah.
Nurul Ain berkata, minat membantu dan menjaga pesakit menjadi antara faktor utama dia memilih bidang kejururawatan sebagai kerjaya.
Katanya, sebelum menamatkan pengajian diploma, dia pernah menerima tawaran bekerja di sebuah hospital swasta di ibu kota.
“Bagaimanapun, disebabkan suami berpindah kerja ke Kelantan, saya buat keputusan untuk bekerja sendiri sebagai jururawat peribadi kerana semakin ramai pesakit memerlukan penjagaan di rumah.
“Pengalaman dalam bidang kejururawatan memberi keyakinan kepada saya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan secara profesional kepada pesakit dan keluarga mereka,” katanya.
Berkongsi skop tugasnya, Nurul Ain berkata, ia merangkumi penjagaan pesakit di rumah atau hospital termasuk membantu pesakit selepas bersalin, menjaga bayi dan memantau keadaan kesihatan pesakit.
Selain itu, dia turut menyediakan perkhidmatan pemasangan tiub makan (Ryles Tube), pemasangan tiub kencing, pemberian susu melalui tiub serta prosedur mencuci luka mengikut keperluan pesakit.
“Saya juga memandikan pesakit, memeriksa ‘vital sign’, membantu memberi makan dan ubat serta memberi sokongan emosi.
“Pada masa sama, saya akan bantu pesakit untuk solat, lakukan fisioterapi asas dan memastikan persekitaran pesakit sentiasa bersih serta selesa,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran terbesar sebagai jururawat peribadi khususnya wanita ialah aspek pengurusan masa, tenaga dan komitmen kerana tugas itu memerlukan mereka sentiasa bersedia mengikut keadaan pesakit.
“Ada masa kami perlu berjaga malam atau berdepan situasi kecemasan secara tiba-tiba. Situasi paling menguji emosi apabila melihat pesakit berada dalam keadaan kritikal atau menanggung kesakitan yang teruk.
“Sebagai jururawat peribadi, kami bukan sahaja menjaga pesakit, tetapi turut melalui perjalanan emosi bersama keluarga mereka,” katanya.
Katanya, walaupun tugas itu mencabar dari segi fizikal dan emosi, dia tetap berasa puas apabila dapat membantu pesakit melalui saat sukar dalam hidup mereka selain menerima penghargaan dan kepercayaan daripada keluarga pesakit.
Nurul Ain berkata, antara pengalaman paling menyentuh hati sepanjang apabila hubungan yang terjalin dengan pesakit dan keluarga menjadi begitu rapat sehingga dianggap seperti ahli keluarga sendiri walaupun pesakit sudah meninggal dunia.
“Ada keluarga pesakit yang masih berhubung dan meraikan saya seperti adik-beradik sendiri. Bagi saya, tugas seorang jururawat peribadi bukan sekadar menjaga kesihatan pesakit, tetapi turut memberi ketenangan kepada keluarga mereka,” katanya.
Katanya, kini permintaan terhadap perkhidmatan jururawat peribadi sentiasa tinggi sehingga ada masanya dia tidak sempat memenuhi semua permintaan pelanggan dan perlu meminta bantuan ahli pasukannya.
“Saya berharap dapat terus mengembangkan kerjayanya dalam bidang penjagaan kesihatan dan memasang impian untuk membuka rumah jagaan warga emas sendiri pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




