‘Bukan Sekadar Lafaz 2’ Papar Isu Kemandulan Lelaki Punca Ketiadaan Anak… Sampai Bila Wanita Harus Dipersalahkan?

‘Bukan Sekadar Lafaz 2’ Papar Isu Kemandulan Lelaki Punca Ketiadaan Anak… Sampai Bila Wanita Harus Dipersalahkan?

Karya yang sedang menghiasi slot Akasia TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2 semakin hangat bersiaran dengan isu-isu realiti yang dekat dengan masyarakat, namun jarang dibincangkan secara terbuka.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Alif Satar, Wanna Ali, Isyariana, Ahmad Idham dan ramai lagi, drama ini mengisahkan dilema Hud (lakonan Alif Satar), seorang suami yang dipercayai mengalami masalah kemandulan.

Situasi ini menyebabkan dia dan isterinya masih belum dikurniakan zuriat, sehingga rumah tangga mereka mula bergolak. Keadaan semakin tegang apabila kehadiran orang ketiga merumitkan lagi konflik yang dihadapi.

Salah satu persoalan besar yang dibangkitkan dalam drama ini adalah bagaimana masyarakat sering meletakkan beban soal zuriat di bahu wanita. Apabila sesuatu pasangan masih belum dikurniakan anak, selalunya si isteri yang akan dipersalahkan terlebih dahulu.

Namun, mengapa pandangan ini masih berakar dalam masyarakat? Hakikatnya, masalah kesuburan boleh berlaku kepada kedua-dua pihak. Bagi lelaki, adakah benar kelelakian mereka boleh “terancam” jika perlu menjalani rawatan?

Sejauh mana ego dan rasa malu menjadi penghalang untuk mereka menerima kenyataan serta mencari penyelesaian bersama?

Keadaan menjadi lebih tegang apabila keluarga mula masuk campur dengan pelbagai pendapat. Ada yang memberi sokongan, namun tidak kurang juga yang sekadar melemparkan kata-kata tanpa memikirkan kesannya.

Seperti dalam salah satu babak drama ini, “Susah sangat, kahwin lain je!” – Bayangkan jika ini berlaku dalam kehidupan sebenar, apakah langkah terbaik yang patut diambil?

Bagaimana kesudahan kisah Hud dan Syikin? Mampukah mereka mengharungi cabaran ini, atau adakah rumah tangga mereka akan terus retak?

Jangan lupa saksikan Bukan Sekadar Lafaz 2 di slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3!

Scroll to Top