Bukan sekadar melawan badai

Bukan sekadar melawan badai

Kuala Lumpur: “Saya sangkakan apabila kami belayar meninggalkan pelabuhan Agusta pada 13 September lalu, berakhirlah episod penantian.

Rupa-rupanya, episod penantian itu kini bersambung pula di Teluk Portopalo Di Capo Passero. Lokasi ini terletak di tenggara Sicily selepas 10 jam belayar dari Agusta.

Ketika saya menulis catatan ini, waktu tempatan jam 8 pagi 16 September 2025, bermakna sudah tiga hari kami berlabuh di Portopalo.

Biarpun bot-bot Global Sumud Flotilla (GSF) dari Sepanyol dan Tunisia sudah meninggalkan Pelabuhan Bizerte, Tunisia, setakat ini belum diputuskan bila flotila dari Itali akan belayar keluar dari Portopalo.

Malam tadi (15 September 2025) berlangsung mesyuarat atas talian antara semua peserta, kapten bot dan kru dengan pihak jawatankuasa pengurusan.

Objektif utama ialah untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk belayar supaya dapat bertemu dengan flotila dari Tunisia pada waktu yang tepat di lokasi pertemuan yang dirancang.

Pelbagai pandangan diambil kira termasuk faktor cuaca, arah angin, kelajuan bot dan sebagainya. Namun, selepas lebih dua jam berdebat dan berhujah, keputusan muktamad tetap gagal dicapai.

Jawatankuasa penganjur kemudian memutuskan diadakan mesyuarat pagi ini (16 September 2025) secara fizikal membabitkan semua kapten bot dan koordinator.

Hampir pasti, kami 17 bot flotila Itali bersama kira-kira 150 peserta tidak akan meninggalkan Portopalo hari ini (16 September 2025).

Paling awal ialah pada 17 September atau mungkin juga satu atau dua hari selepas itu. Maka, sekali lagi tahap kesabaran semua peserta, kapten bot dan kru diuji.

Ada yang lulus ujian ini dan ada juga yang hampir kecundang. Itulah hakikatnya kerana setiap insan itu berbeza.

Alhamdulillah, pasukan Sumud Nusantara dari Malaysia masih mampu bertahan. Kami faham, setiap usaha membantu rakyat Palestin pasti berdepan kesukaran.

Pelayaran GSF ke Gaza adalah satu usaha sivil paling bahaya di dunia kerana gerakan ini sedang melawan Israel, Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya.

Justeru, dalam menghitung berapa hari pelayaran untuk kami tiba di perairan Gaza, tidak boleh sekadar melihat aspek teknikal dan cuaca.

Tekanan politik dan ancaman ekonomi juga menjadi faktor besar yang mengganggu kelancaran perjalanan flotila.

Ya, ada elemen tersirat di sini yang menuntut anda semua membuat sedikit pembacaan dan kajian untuk lebih memahaminya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top