Bukan sekadar pameran! MAHA 2026 raih RM66.8 juta jualan, RM10 bilion nilai kerjasama

Bukan sekadar pameran! MAHA 2026 raih RM66.8 juta jualan, RM10 bilion nilai kerjasama

Sepuluh hari berlangsung, MAHA 2026 bukan sekadar meriah dengan kehadiran jutaan pengunjung, malah melakar pencapaian cukup membanggakan apabila merekodkan 4.3 juta pengunjung serta nilai jualan keseluruhan hampir RM67 juta.

Lebih mencuri perhatian, sebanyak 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10 bilion turut dimeterai sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 854,311 kenderaan turut direkodkan setakat semalam.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan sektor agro dan agromakanan negara bukan lagi sekadar bergantung kepada kaedah konvensional, sebaliknya semakin berkembang sebagai sektor moden yang sarat dengan teknologi, inovasi dan peluang perniagaan.

“Kejayaan MAHA 2026 membuktikan bahawa sektor agro dan agromakanan negara mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sektor moden, berdaya saing dan berteraskan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Bukan sekadar pameran! MAHA 2026 raih RM66.8 juta jualan, RM10 bilion nilai kerjasama

Kemuncak penganjuran MAHA 2026 turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

“Kehadiran Perdana Menteri merupakan cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor agromakanan, pertanian dan industri asas tani sebagai pemacu penting pembangunan ekonomi negara,” jelas KPKM.

Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 menghimpunkan pelbagai segmen dalam ekosistem agro dan agromakanan negara, selain mengetengahkan perkembangan teknologi, inovasi serta peluang pelaburan dan perniagaan dalam sektor berkenaan.

Lebih menarik, wajah pertanian masa kini turut diterjemahkan menerusi penggunaan teknologi seperti pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan teknologi makanan.

“Penekanan diberi kepada teknologi dan inovasi agro, termasuk pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta teknologi makanan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, golongan belia turut diberi ruang untuk melihat sektor agromakanan daripada perspektif berbeza, khususnya sebagai bidang yang menawarkan peluang kerjaya dan keusahawanan.

Dimensi antarabangsa MAHA 2026 pula diperkukuh menerusi penyertaan 14 negara, membuka ruang kepada pertukaran teknologi, pelaburan, pembangunan kapasiti serta peluasan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia.

Sepanjang 10 hari penganjuran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), lebih 2,000 pempamer serta delegasi antarabangsa mengambil bahagian, selain melibatkan 1.72 juta belia.

Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai tarikan termasuk Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Jagung & Bawang, Laman Florikultur, Laman Perikanan dan Laman Smart Farming.

Turut diketengahkan ialah Laman Veterinar, Pavilion Negeri, Agrosafari, Perkampungan Bang Mat, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta Kiddies Wonderland.

Kejayaan penganjuran MAHA 2026 turut disokong menerusi penglibatan kementerian, agensi, kerajaan negeri, pemain industri, usahawan, rakan strategik dan sukarelawan.

Dengan jutaan pengunjung, nilai jualan hampir RM67 juta dan MoU bernilai lebih RM10 bilion, MAHA 2026 melabuhkan tirai dengan satu mesej jelas bahawa sektor agro dan agromakanan negara mempunyai ruang besar untuk terus berkembang, berinovasi dan menjadi antara pemacu penting ekonomi Malaysia.

“Segala jaringan, kerjasama dan peluang yang tercetus sepanjang penganjuran diharap dapat diteruskan untuk memberi manfaat berpanjangan kepada industri dan ekonomi negara,” menurut KPKM.

Scroll to Top